Maybank IB jangka kenaikan kadar faedah beri kesan negatif kepada sektor hartanah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka kenaikan kadar faedah beri kesan negatif kepada sektor hartanah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah akibat peningkatan risiko seperti kadar jualan yang perlahan akibat kenaikan kadar faedah, kelewatan pelancaran hartanah baharu dan peningkatan kos bahan mentah.

 

Sentimen pembelian barangan besar juga dijangka terkesan akibat ketidaktentuan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

 

"Kenaikan kadar faedah bukan sahaja terkesan kepada kemampuan pelanggan tetapi juga kepada pemaju hartanah.

 

"Pemulihan dalam sektor hartanah dilihat sukar kerana dipengaruhi oleh kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah yang menjurus kepada risiko jualan dan pendapatan (kemajuan kerja yang perlahan, kos operasi yang lebih tinggi dan kadar ganti rugi yang dipastikan (LAD))," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, dalam usaha memastikan projek dibangunkan disiapkan tepat pada masanta, sebahagian daripada pemaju hartanah akan menangguhkan pelancaran projek baharu bagi mengelakkan LAD akibat kekurangan tenaga pekerja.

 

"Masalah jualan dan tekanan margin seperti kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah, ketidaktentuan politik dan kenaikan kadar faedah berkemungkinan berlarutan hingga 2023,” katanya.

 

Tanpa Kempen Pemilikan Rumah (HOC), jualan hartanah kediaman untuk suku pertama 1QFY22 menurun sebanyak 6% daripada suku ke suku kepada RM23 bilion daripada RM24.6 bilion pada 4QFY21.

 

"Pada pandangan kami, HOC berjaya menaikkan sentimen belian hartanah, kawalan ketat ke atas bekalan perumahan seperti kelulusan perumahan dan nisbah plot, serta data perumahan yang tepat dan pelancaran perumahan yang lebih baik adalah sama penting untuk menyelesaikan isu tidak terjual yang berterusan dalam negara.

 

"Komplikasi mungkin timbul kerana tanah juga merupakan urusan negeri dan kerajaan negeri boleh menggubal undang-undang berhubung perkara berkaitan tanah, justeru penyelarasan yang sewajarnya antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan bagi menyelesaikan isu berkaitan," katanya. - DagangNews.com