Maybank IB positif terhadap prospek pendapatan sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB positif terhadap prospek pendapatan sektor perbankan

KUALA LUMPUR 23 Jun - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kekal positif terhadap prospek sektor perbankan Malaysia berikutan kadar faedah yang meningkat pada amnya positif untuk pendapatan bank.

 

Firma itu berkata, kenaikan kadar akan turut memberi manfaat kepada bank dari segi pulangan ke atas ekuiti (ROE), yang boleh mendapat pulangan kepada lebih 10% pada tahun kewangan 2023.

 

"Kami berpendapat bahawa hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) semasa dilihat telah mencerminkan kenaikan kadar masa depan, dan justeru itu, kerugian yang dinilai mengikut pasaran pada masa depan dijangka dapat dibendung.

 

“Kami percaya bahawa bank mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menampan terhadap potensi isu kualiti aset yang wujud daripada kos pinjaman yang tinggi,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) domestik sebanyak 50 mata asas (bps) pada separuh kedua 2022, menjadikan jumlah kenaikan kadar kepada 75bps pada 2022, dengan kenaikan 50bps lagi pada 2023.

 

Katanya, dengan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS sebanyak 75bps kepada 1.5-1.75% pada 15 Jun 2022, perbezaan kadar faedah antara OPR Malaysia  berkurangan kepada hanya 25bps, daripada 300bps pada 2014/15.

 

Katanya “dot plot” terkini Fed menunjukkan satu lagi kenaikan 175bps dalam baki empat lagi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada tahun ini, dengan jangkaan kitaran kenaikan kadar semasa akan berakhir pada awal 2023 pada 3.75%, yang bermakna jumlah kenaikan kadar sebanyak 200bps antara sekarang dan awal 2023.

 

“Dengan langkah terbaru Fed yang agresif ini, kami kini menjangka BNM akan menaikkan OPR domestik sebanyak 25bps lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada 5-6 Julai, dengan prospek satu lagi kenaikan 25bps pada akhir 2022.

 

“Ini akan menaikkan OPR kepada 2.5% pada akhir 2022 daripada 1.75% pada awal tahun, mewakili kenaikan kadar terkumpul 75bps pada 2022 dan kami mengunjurkan kenaikan OPR 50bps lagi pada 2023, menjadikannya kepada 3.0 peratus,” katanya.

 

Katanya kenaikan kadar pada amnya mempunyai impak jangka pendek yang positif ke atas margin faedah bersih (NIM) bank melalui hasil pinjaman yang tinggi ke atas pinjaman kadar berubah dan hasil bon yang lebih tinggi manakala kos pembiayaan akan mengambil kira-kira tiga hingga enam bulan dari segi purata untuk kembali normal, iaitu tempoh biasa untuk deposit tetap dalam sistem. - DagangNews.com