Maybank Islamic serah zakat perniagaan RM1.16 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic serah zakat perniagaan RM1.16 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Datuk Khairussaleh Ramli (enam dari kiri) menyerahkan mock up zakat perniagaan kepada Datu Haji Misnu Haji Taha (empat dari kanan) sambil disaksikan Tan Sri Abang Johari Tun Openg (lima dari kanan) bersama deligasi kumpulan Maybank.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUCHING 5 Ogos - Maybank Islamic Berhad hari ini menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.16 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan 2021.

 

Agihan zakat perniagaan ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat perniagaan Maybank Islamic sebanyak RM8.94 juta yang telah diagihkan kepada seluruh Pejabat Agama Islam di Malaysia.

 

Penyerahan zakat telah disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Misnu Haji Taha dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas di pejabat rasmi Premier Sarawak di Kuching.

 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global, Datuk Muzaffar Hisham; Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk John Chong dan Pengarah Wilayah Sarawak Abang Jamili Abang Julai.

 

Khairussaleh berkata, perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan susulan penularan wabak COVID-19 telah banyak memberi kesan negatif ke atas kebajikan keluarga di Malaysia, terutama sekali dalam kalangan golongan rentan yang sememangnya sudah mengalami kekangan kewangan walaupun sebelum pandemik. 

 

“Dengan penyerahan zakat ini, kami di Maybank percaya ianya dapat sedikit sebanyak membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan dan meneruskan kelangsungan hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Khairussaleh, usaha ini seiring dengan pelan lima tahun Maybank (M25) iaitu untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan demi mencapai pertumbuhan mampan dengan tumpuan untuk memperkasakan komuniti untuk kemajuan inklusif serta memimpin melalui teladan dengan amalan tadbir urus yang baik.

 

Dari tahun 2018 sehingga 2022, Maybank Islamic telah mengagihkan zakat berjumlah RM5.9 juta kepada Baitulmal Sarawak. 

 

Dalam tempoh yang sama, Maybank Islamic bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), juga melaksanakan program sosial dan komuniti di Sarawak dengan dana zakat berjumlah RM1.48 juta yang telah memanfaatkan lebih 23,000 orang penerima zakat.

 

Mohamed Rafique pula berkata, mereka sentiasa berusaha untuk menyediakan peluang kepada masyarakat, termasuk golongan asnaf dalam membentuk kehidupan masyarakat yang makmur dan berkembang dengan mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan setiap tahun di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat. 

 

"Melalui program sebegini, ia bukan sahaja dapat menggalakkan kemampanan kewangan sosial dalam kalangan masyarakat Islam, malah juga boleh mengoptimumkan potensi dan keberkesanan zakat serta membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global," katanya.

 

Antara program zakat tersebut adalah program tahunan pengagihan bekalan makanan di bulan Ramadan, bantuan zakat kepada pelajar asnaf di pusat pengajian tinggi Sarawak, program daie’ dan komuniti untuk asnaf mualaf serta program air, sanitasi dan kebersihan di sebuah kampung di Serian. - DagangNews.com