Maybank labur RM3.8 juta taja biasiswa kepada 69 pelajar | DagangNews Skip to main content

Maybank labur RM3.8 juta taja biasiswa kepada 69 pelajar

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. -  Maybank mengumumkan penajaan bernilai lebih RM3.8 juta kepada 69 pelajar bagi melanjutkan pengajian sarjana dalam pelbagai bidang di universiti awam tempatan dan asing, di bawah Program Biasiswa Kumpulan Maybank tahun ini.

 

Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Pengerusi Maybank berkata program biasiswa yang telah menjadi inisiatif tanggungjawab korporat utama Kumpulan Maybank sejak tahun 1970-an, bukan hanya bertujuan untuk menyokong pembangunan modal insan negara malah juga membolehkan pelajar yang layak mencapai impian mereka.

 

Katanya, pelaburan di dalam bakat-bakat di negara tetap menjadi keutamaan bagi Kumpulan walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar.

 

"Selama 49 tahun, lebih daripada 2,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa Maybank. 

 

"Kami komited untuk terus mengembangkan dan memperkayakan kumpulan bakat yang berpotensi dengan memberikan tajaan kepada pelajar Malaysia yang layak, terutamanya yang berasal dari golongan berpendapatan rendah, untuk melanjutkan pendidikan tinggi yang berkualiti di universiti awam terkemuka di negara ini, serta di Amerika Syarikat, Australia, dan United Kingom, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, program biasiswa yang ditadbir oleh Yayasan Maybank adalah sejajar dengan komitmen kemampanan kedua Maybank dari empat komitmen utamanya, di mana Kumpulan menyasarkan untuk "meningkatkan kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025". 

 

"Ia juga memenuhi Matlamat Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) 4, 10 dan 17, yang mengutamakan pendidikan berkualiti yang inklusif dan adil," katanya.

 

Dalam pada itu Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf menggalakkan para pelajar untuk terus mengembangkan karakter, ketahanan, dan integriti dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan tambahan luar, serta menambahkan pengetahuan dan berhubungan dengan dunia di sekitar mereka.

 

"Setelah tamat pengajian, penerima biasiswa ini akan bersama dengan Maybank selama tiga tahun sekiranya mereka melanjutkan pelajaran di dalam negara dan lima tahun, untuk pendidikan di luar negara," katanya. 

 

Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank merangkumi sokongan kewangan, termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun penginapan dan buku, perlindungan insurans, dan komputer riba. -DagangNews.com