Maybank Securities, BOB Capital Markets bekerjasama kukuhkan penawaran produk ekuiti India | DagangNews Skip to main content

Maybank Securities, BOB Capital Markets bekerjasama kukuhkan penawaran produk ekuiti India

Menara Maybank di Singapura. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Maybank Securities Pte Ltd Singapura dan BOB Capital Markets (BOBCAPS) memeterai perjanjian untuk mengukuhkan tawaran produk ekuiti di India kepada pelanggan di ASEAN dan seluruh dunia.

 

Maybank Securities yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank (Maybank IBG), menjangka untuk membuka lebih banyak pasaran ASEAN serta aliran modal global ke India melalui kerjasama ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IBG, Datuk Ami Moris berkata, India kini merupakan bursa saham kelima terbesar di dunia, dengan jumlah permodalan pasaran lebih AS$3 trilion (RM13.38 trilion).

 

Menurutnya, sejak permulaan pandemik COVID-19, indeks penanda aras Nifty 50 telah meningkat 41%, dan merupakan prestasi cemerlang yang konsisten berbanding pasaran baru muncul yang lain.

 

"Kes pelaburan untuk India kekal kukuh, dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh," kata Ami dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

 

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Maybank IBG telah berjaya membina portfolio perkongsian strategik yang penting di Asia-Pasifik, dan pakatannya dengan BOBCAPS akhirnya menambah India — pasaran sasaran kritikal — kepada penawaran produk komprehensifnya.

 

Pengarah Urusan bersama BOBCAPS, Sanjiv Saraff berkata, pakatan itu menawarkan peluang besar kepada syarikat perbankan pelaburan di India untuk memanfaatkan pelanggan global sedia ada Maybank untuk meningkatkan jangkauan pengedarannya.

 

Langkah itu juga membolehkan Maybank meningkatkan liputan produknya kepada pelanggan institusi global, sambil membenarkan BOBCAPS mengembangkan jangkauannya di luar India.

 

Kerjasama itu juga merangkumi penyelidikan, akses korporat dan jerayawara untuk meningkatkan minat dalam produk ekuiti India. - DagangNews.com