MBSA tawar diskaun kompaun hingga 50% sepanjang Ramadan | DagangNews Skip to main content

MBSA tawar diskaun kompaun hingga 50% sepanjang Ramadan


SHAH ALAM 14 April -  Orang ramai yang mempunyai kompaun dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digalak mengambil peluang menyelesaikan tunggakan berkenaan menerusi Kempen Pengurangan Kompaun dianjurkan sepanjang Ramadan ini.

 

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata pelaksanaan kempen pengurangan kompaun itu bermula semalam hingga 12 Mei ini dengan kadar sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun dikenakan.

 

"Kempen dilaksanakan ini inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan orang kena kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan itu.

 

"Jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007.

 

"Selain itu, ia turut membabitkan Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007; Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007; Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Shahrin berkata, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

 

shahrin ahmad
Shahrin Ahmad

 

Beliau berkata, bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

 

"Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

 

"Orang ramai dinasihatkan mengambil peluang ini menjelaskan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas diambil termasuk sekatan urus niaga di kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah," katanya.

 

Shahrin berkata, sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my. - DagangNews.com