McDonald's Malaysia seru orang ramai derma darah bantu pesakit memerlukan | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia seru orang ramai derma darah bantu pesakit memerlukan

McDonald's Malaysia menganjurkan program Hari Derma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara ibu pejabatnya di Damansara Utama.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai - Aktiviti derma darah yang dianjurkan oleh McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) menyaksikan lebih 1,300 penderma sejak tahun 2017.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, restoran khidmat segera itu menyokong seruan kerajaan agar rakyat Malaysia dapat menderma darah secara lebih kerap. 


 
Beliau berkata, penganjuran aktiviti menderma darah itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menderma darah, demi menyokong pihak PDN dalam membantu pesakit memerlukan. 

 

"Kerjasama antara McDonald’s Malaysia dan PDN adalah supaya lebih ramai orang menderma darah bagi memastikan jumlah stok bekalan darah di dalam bank darah negara stabil.

 

"Kami sedar kepentingan adanya stok darah dan kami sangat gembira dapat melaksanakan aktiviti menderma darah pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Terdahulu, program Hari Derma Darah yang diadakan di ibu pejabat McDonald’s Malaysia semalam menyaksikan kehadiran lebih daripada 200 penderma pada tahun ini. 

 

Penderma yang hadir terdiri daripada kakitangan, rakan-rakan niaga, dan pelanggan McDonald’s serta wakil media. 

 

Restoran khidmat segera tersebut berhasrat menanamkan satu tabiat yang baik dan mewujudkan kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan menderma darah dalam kalangan kakitangannya dan juga rakyat Malaysia. 

 

 

mcd
Datuk Azmir Jaafar turut tidak ketinggalan untuk menderma darah dalam program tersebut.

 

 

mcd

 

 

Sebagai tanda penghargaan, McDonald’s Malaysia menyediakan hidangan McChicken dan Sundae Cone kepada semua penderma darah yang hadir. - DagangNews.com