MCMC tidak terlibat peraduan berkaitan pemberian hadiah sagu hati | DagangNews Skip to main content

MCMC tidak terlibat peraduan berkaitan pemberian hadiah sagu hati

CYBERJAYA 21 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak pernah terlibat dalam mana-mana peraduan berkaitan pemberian hadiah sagu hati membabitkan sebuah syarikat telekomunikasi.

 

MCMC dalam kenyataan memaklumkan peringatan itu diberikan susulan wujud tindakan oleh pihak tidak dikenali menyamar sebagai pegawai MCMC meminta agar pengguna memaklumkan kepada pihak suruhanjaya sekiranya menerima sebarang surat atau pemberitahuan loteri daripada mana-mana e-mel atau syarikat yang mencurigakan.

 

“Ingin dijelaskan, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan suruhanjaya itu lazimnya akan dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman web atau platform media sosial dan bukan menggunakan nama individu tertentu serta penggunaan bahasa yang meragukan.

 

“Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan e-mel sedemikian.

 

''Pada masa sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com