MCMC: Waspada taktik terkini Scammer jaja `Jaringan Prihatin' | DagangNews Skip to main content

MCMC: Waspada taktik terkini Scammer jaja `Jaringan Prihatin'

 

CYBERJAYA 23 Sept –  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak tidak dikenali dan mencurigakan.

 

Peringatan ini timbul susulan wujud tindakan oleh pihak tidak dikenali yang menyamar sebagai wakil dari sebuah syarikat penyedia perkhidmatan dan menawarkan wang sebanyak RM300 melalui `Jaringan Prihatin'.

 

Pengguna yang dihubungi itu bagaimanapun `perlu' memberikan nombor kad pengenalan, nombor kad ATM, tiga (3) nombor di belakang kad ATM dan butiran peribadi mereka.

 

Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak memberi/mendedah maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.

 

Pada masa yang sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.

 

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung insiden penipuan (scam) kepada pihak PDRM CCID Scam Response Centre melalui talian 03-2610 1559/03-2610 1599 yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

 

Dalam usaha untuk menangani insiden penipuan yang semakin berleluasa, MCMC dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada 14 Jun 2021 lalu telah menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi melibatkan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dalam usaha untuk mendidik pengguna mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah-langkah yang boleh diambil dalam menghalang cubaan penipuan (scam) yang semakin berleluasa.

 

Fokus kempen kesedaran terbabit terarah kepada tiga (3) modus operandi Jenayah Telekomunikasi iaitu:

 

i. Penipuan Panggilan (Vishing) – pemanggil mengaku sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), mahkamah ataupun badan swasta seperti institusi perbankan memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa dan kemudiannya memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

 

ii. Penipuan SMS (Smishing) – menghantar teks pesanan kononnya daripada insititusi perbankan dan menyatakan terdapat transaksi perbankan telah dilakukan dan mangsa diminta untuk membuat pengesahan dengan menghubungi nombor talian atau klik pada pautan yang disertakan.

 

iii. Penipuan Kod Transaksi Pengesahan (TAC) – menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

 

Menerusi kempen ini, hebahan berkaitan dengan maklumat serta panduan untuk mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya dikongsi secara menyeluruh di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, laman web selain penggunaan hashtag.

 

Penganjuran kempen kesedaran tersebut adalah langkah susulan MCMC dalam usaha mendidik pengguna dari menjadi mangsa penipuan selain tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pihak PDRM bagi membendung masalah penipuan (scam). – DagangNews.com