Md. Alwi dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

Md. Alwi dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC bermula hari ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bermula hari ini bagi tempoh dua tahun.

 

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Silver Ridge Berhad dari 2004 hingga 2008, Syarikat Permodalan Risda Berhad bermula 2006 hingga 2016 dan Lembaga Kemajuan Pertanian KEMUBU (KADA) dari 2014 hingga 2018. 

 

Md. Alwi ketika ini adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2020.

 

"Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Tinjauan & Pemetaan) dari Western Australian Institute of Technology Perth (kini Curtin University) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM) selain pernah menerima latihan profesional dalam bidang Hidrografi dan Pemetaan Dasar Laut selain beberapa kursus profesional dari Kanada, Sweden, Amerika Syarikat dan China.

 

"Selain itu, beliau juga berpengalaman sebagai juruukur tanah berlesen profesional dan merupakan Prinsipal Firma Perundingan AA Geomatics and Survey dan Felo Institut Juruukur Malaysia," kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Md. Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan. 

 

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1992 dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia bermula 1993 hingga 1999, sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri dari 2007 hingga 2009.

 

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh antara 2004 hingga 2008.

 

Sebagai antara tokoh penting dalam membasmi kemiskinan, beliau telah memainkan peranan sebagai Pengerusi Yayasan Kemiskinan Kelantan sejak 1993. - DagangNews.com