MDEC kini tumpu misi 'Mencipta Semula' | DagangNews Skip to main content

MDEC kini tumpu misi 'Mencipta Semula'

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyedari bahawa transformasi dan penerapan digital sangat penting bagi masyarakat dan industri untuk memanfaatkan peluang baharu.

 

Perkara ini ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri dalam kenyataan hari ini yang mahu MEDC memberi tumpuan kepada Misi ‘Mencipta Semula’ sempena ulang tahun ke-25 organisasi berkenaan. 

 

Antara fokus yang akan diberikan termasuklah membawa bakat luar biasa yang memiliki pengalaman sektor swasta dan awam serta suntikan pendekatan dan pemikiran baharu.

 

Ini menyaksikan kepimpinan MDEC mengalami perubahan ketara selepas 8 pegawai kanannya meninggalkan organisasi itu sejak Oktober lalu. 

 

Tenaga baharu yang dibawa masuk merangkumi eksekutif swasta seperti dari Astro, Celcom, Edelman, IBM, Media Prima, Microsoft, Pemandu Associates, Touch ‘n Go dan syarikat pemula niaga teknologi.

 

struktur baharu mdec

 

Dalam hal ini, Surina menjelaskan, struktur kepimpinan yang bertenaga, efisien dan kolaboratif akan mempercepatkan jangkauan masa untuk mencapai visi masyarakat pertama di zaman teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).  

 

"Komitmen ini akan membawa kepada kemakmuran bersama untuk semua dan visi Malaysia 5.0, " katanya.

 

Objektif MDEC adalah jelas iaitu memperhebatkan inisiatifnya untuk mengembangkan ekonomi digital negara bagi manfaat pelbagai pihak terutama ketika berdepan gangguan dan peluang yang belum pernah terjadi dengan amalan norma baharu

 

Di bawah misi baharu itu, MDEC yakin fokusnya akan memberi kemampuan digital bagi memperkasakan pekerjaan, perniagaan digital dan teknologi dengan mempercepat penggunaan digital dan seterusnya menarik pelaburan digital. 

 

"MDEC tidak akan terganggu untuk melaksanakan misi ini. Saya juga ingin menegaskan bahawa hubungan kerja yang erat serta kolaboratif membabitkan pengurusan eksekutif dengan Lembaga Pengarah dalam mencipta semula MDEC secara holistik untuk masa depan," jelas beliau. 

 

Sebelum ini, terdapat laporan media yang MDEC berdepan krisis dalaman sehingga berlaku perletakan jawatan secara besar-besaran dalam organisasi itu. 

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, MDEC memutuskan untuk membawa bakat dan teknokrat yang berfokuskan industri untuk membantu Malaysia melakukan lonjakan digital berdepan IR4.0. 

 

"Kami mengambil maklum hasil tinjauan tadbir urus holistik dan menilai kembali kemampuan untuk melaksanakan misi 'Mencipta Semula’, justeru, ini sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan visi Malaysia 5.0 untuk memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat,” katanya. 

 

Bertepatan dengan sambutan Jubli Peraknya tahun ini, organisasi melaksanakan perubahan dengan menarik bakat berprestasi tinggi dan bersedia melakukan transformasi untuk mencipta semula MDEC.

 

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawalselia perkembangan inisiatif MSC Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital ke negara ini. - DagangNews.com