Skip to main content

MDEC sasar 1,000 pendaftaran menerusi program #SayaDigital sepanjang Jelajah AKM Kedah

ORANG ramai berkunjung ke booth MDEC bagi mendapatkan maklumat dan mendaftar dalam program #SayaDigital sepanjang AKM Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman, Kedah.
Oleh MOHAMAD IMAN

ALOR SETAR 3 Sept - Program #SayaDigital hasil inisiatif Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) menyasarkan 1,000 pendaftaran bersempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah.

 

Program yang dilaksanakan ini adalah merupakan inisiatif kerajaan bagi memperluas literasi dan mengadaptasi digital kepada pelbagai lapisan masyarakat.

 

 

AKM
Nabil Asraf Riduan

 

 

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat MDEC, Nabil Asraf Riduan berkata, pada hari pertama jelajah itu berlangsung, pihaknya telah menerima 400 pendaftaran program #SayaDigital dan jumlahnya dijangka meningkat sepanjang tiga hari penganjuran AKM.

 

“Sambutan pengunjung terhadap program ini sememangnya amat memberangsangkan dalam memberi kesedaran penggunaan teknologi kepada orang ramai,” katanya.

 

Dalam pada itu, tambahnya, terdapat empat fokus utama menerusi program berkenaan meliputi literasi, perniagaan, modal insan dan pendapatan.

 

Katanya, program tersebut juga merupakan kesinambungan daripada inisiatif MyDigital yang bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini.

 

“Inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosio ekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan termasuklah latihan literasi digital asas serta seminar perniagaan secara maya,” katanya.

 

AKM
Inisiatif #SayaDigital dapat mewujudkan kesedaran dalam teknologi digital dalam kalangan masyarakat.

 

 

Selain itu, menurutnya, program itu juga dapat mewujudkan kesedaran dalam teknologi digital, gaya hidup pintar dan peluang sama rata kepada masyarakat di bandar dan luar bandar.

 

Tambahnya, langkah itu sekali gus dapat membantu dalam mempercepatkan pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini.

 

“MDEC berharap agar orang ramai khususnya di sekitar Kedah dapat berkunjung ke AKM bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif #SayaDigital dan mendaftar dalam program ini,” katanya. - DagangNews.com