MDEC sasar tarik 20,000 peserta pada MTM21 | DagangNews Skip to main content

MDEC sasar tarik 20,000 peserta pada MTM21

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk menarik lebih 20,000 peserta dari 50 buah negara sempena Malaysia Tech Month 2021 (MTM21).

 

Tahun ini, MTM21 akan dilancarkan selama 2 hari pada 29 Julai, yang mana Profesor Dr. Michio Kaku, yang juga Ahli Fizik Teori dan penulis terkemuka akan berucap mengenai topik 'Lima Idea Utama Yang Akan Menentukan Masa Depan Kita'.

 

Diadakan selama sebulan sehingga 30 Ogos 2021, program ini yang dianjurkan buat kali kedua akan membawakan lebih daripada 40 acara dan lebih 300 jurucakap dan pelabur tempatan serta antarabangsa. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, tahun ini manandakan titik penting kepada MDEC, kerana sambutan 25 tahun penubuhannya. 

 

Secara tidak langsung, katanya, MTM21 merupakan sambutan kepada kemajuan dan kejayaan sejak MDEC bermula pada 1996, dengan menjadikan impian Koridor Raya Multimedia, satu kenyataan. 

 

"Inilah cara kami meraikan Jubli Perak, dengan melaksanakan tanggungjawab kami dengan baik, iaitu menerajui inovasi dan memperkasa rakyat menuju transformasi digital.

 

"Acara ini juga akan memberi peluang untuk kita meluaskan pandangan dan menyertai sesi perbualan yang dapat memacu kita ke arah sebuah negara terangkum dengan teknologi dan disemai dengan peluang digital sama rata kepada rakyat dan perniagaan, seperti termaktub dalam matlamat Malaysia 5.0," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MTM21 merupakan acara maya, menampilkan kandungan digital dan teknologi berimpak tinggi dalam mempromosikan pelaburan untuk ekonomi digital.

 

Menerusi pelbagai sidang ucap tama, bengkel, sidang panel dan sesi padanan, pakar industri dan pakar inovasi teknologi akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka mengenai Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), trend semasa dan masa hadapan untuk teknologi dan ekonomi digital.

 

Ia turut menampilkan barisan pasar teknologi digital terkemuka seperti Ketua Pegawai Saintifik Kumpulan Renault dan Pencipta bersama Siri Apple, Dr Luc Julia; Perintis Digital dan Saintis A.I United Kingdom, Inma Martinez dan bekas Ketua Pegawai Informasi pertama bagi kerajaan Estonia, Taavi Kotka.

 

Nama-nama besar Malaysia juga akan menyertai program ini seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng yang merupakan Unicorn pertama Malaysia.

 

Jemputan lain termasuklah Pengasas bersama Bukalapak, Muhamad Fajrin Rasyid dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhamed.

 

MTM21 juga akan bermula dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun MDEC, yang membawakan sesi khas mengenai perjalanan agensi tersebut sejak ditubuhkan pada 1996 dengan menampilkan bekas eksekutif dan rakan-rakan MDEC terdahulu.

 

Sebagai membuka tirai MTM21, acara utama akan menampilkan perjalanan Malaysia sebagai sebuah syarikat pemula atau start-up yang pertama di rantau ASEAN dengan pelancaran MSC Malaysia pada 1996 yang menjadi tapak asas penghasilan unicorn. - DagangNews.com