MDEC-SEG lancar sekolah pengekodan percuma pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MDEC-SEG lancar sekolah pengekodan percuma pertama di Malaysia

Eksekutif Kanan Bahagian Pembangunan Bakat Digital, Data Digital dan Tenaga Kerja MDEC, Syafini Mohd Ridowan (dari kiri) bersama Pengurus Kanan, Bahagian Pembangunan Bakat Digital, Data Digital dan Tenaga Kerja MDEC, Maria Khor Shii Ling; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway (SEG), Prof. Elizabeth Lee dan Naib Presiden Bahagian Kemahiran Digital dan Pekerjaan MDEC, Dr. Sumitra Nair sempena kerjasama antara MDEC dan SEG bagi pelaksanaan sekolah pengekodan pertama di Malaysia untuk kampus 42KL.
 

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan Kumpulan Pendidikan Sunway (SEG) untuk mengumumkan kohort pertama pelajar untuk kampus 42KL. 

 

Ini merupakan sekolah pengekodan pertama di Malaysia yang menawarkan pengajian tanpa yuran, tanpa guru dan tanpa kelas pembelajaran secara tradisional.

 

Dalam usaha berterusan untuk melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti yang diperlukan dalam memacu perkembangan pesat ekonomi digital, MDEC mengiktiraf kepentingan kerjasama di antara sektor awam dan swasta serta peranan yang dimainkan oleh 42KL dalam mencapai objektif tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri memetik laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertajuk The Future of Jobs Report 2020' yang menyatakan 8 daripada 10 pekerjaan utama di dunia memerlukan kemahiran teknologi digital manakala LinkedIn dalam laporannya, Emerging Jobs Report Malaysia 2020 melaporkan 6 daripada 10 
pekerjaan pada masa hadapan adalah berkaitan digital. 

 

"Semua ini menerangkan mengenai pekerjaan berasaskan digital akan mendapat permintaan tinggi. 

 

"Oleh itu, MDEC akan memastikan bekalan tenaga kerja berteknologi akan terpelihara dan berterusan demi memenuhi objektif yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kampus 42 yang pertama ditubuhkan di Paris, Perancis pada 2013 dan kampus kedua di Lembah Silikon, Amerika Syarikat pada 2016. 

 

Sehubungan itu, Kampus 42 Bandar Sunway Kuala Lumpur menawarkan peluang pendidikan unik kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi dan pendidikan. 

 

Menerusi 42, ia menggunapakai model pembelajaran rakan bersama rakan, iaitu tiada sebarang kelas atau guru sebaliknya hanya para pelajar yang akan menentukan kejayaan mereka berdasarkan 100% suasana projek secara pengalaman langsung. 

 

Untuk mara dalam pembelajaran, mereka harus mengambil kira keupayaan kumpulan, perkongsian maklumat, memainkan peranan dengan membantu dan menerima bantuan daripada rakan-rakan sekumpulan. 

 

Model pembelajaran ini adalah tertakluk kepada kepintaran secara kolektif seperti dalam dunia kerjaya profesional sebenar dan membantu melahirkan tenaga kerja berkualiti bukan secara pembelajaran konvensional tetapi menerusi pencarian, eksperimentasi dan sesi mempertahankan idea.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pendidikan Sunway, Prof. Elizabeth Lee berkata, melalui kerjasama dengan industri, ia sesuatu yang menarik dengan kaedah 42KL berdasarkan sesebuah projek dan
pembelajaran rakan-bersama-rakan yang tiada yuran pengajian dan terbuka untuk semua. 

 

Katanya, visi dan status 42KL yang bukan berasaskan keuntungan adalah sejajar dengan objektif Yayasan Jeffrey Cheah yang ingin memberi peluang sama rata kepada para pelajar. 

 

"Saya percaya, menerusi laluan pendidikan alternatif dan inovatif ini, kami mampu untuk menjangkau lebih
ramai pelajar di seluruh negara dengan pelbagai latar belakang yang luas," katanya. 

 

42KL disokong oleh rakan-rakan utama berikut seperti Kumpulan Sunway, CIMB Bank, DHL, Roland Berger, Carsome, Huawei, Standard Chartered, SIDEC, HSBC, Tenaga Nasional, FWD Insurance dan Celcom.

 

Sejak laman web 42KL dilancarkan pada Julai 2020, sebanyak 3,600 pendaftaran telah direkodkan sehingga 1 Januari 2021. 

 

Daripada keseluruhan permohonan tersebut, 1,600 sedang menjalani Ujian Logik & Aptitud dalam Talian, dengan lebih 600 telah berjaya melepasi ujian tersebut dan 225 telahmengikuti sesi kem intensif Piscine. 

 

Sebanyak 75 pemohon telah berjaya menjadi pelajar dalam program utama selama 12 bulan.

 

Para pelajar 42KL terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan 50% daripadanya keluarga B40, berusia di antara 18 dan 49 tahun manakala 70% daripadanya adalah golongan wanita. - DagangNews.com