MDEC yakin pertumbuhan ekonomi digital, selari prestasi KDNK | DagangNews Skip to main content

MDEC yakin pertumbuhan ekonomi digital, selari prestasi KDNK

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus memberi sokongan kepada ekonomi digital dengan tumpuan ke arah penggunaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

 

Sehingga hujung tahun lalu, MDEC mendapati lebih daripada 489,000 PKS dan mikro telah menerapkan penggunaan e-dagang manakala 378,000 PKS telah dilatih dalam e-dagang. 

 

Jumlah PKS yang mengeksport barangan juga telah meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.

 

Rais Hussin Mohamed Arif
Rais Hussin Mohamed Arif

 

 

Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Arif berkata, ini secara tidak langsung akan memberi keyakinan untuk memacu pertumbuhan dan mengembangkan ekonomi digital yang mana bertepatan dengan usaha MDEC mewujudkan masyarakat yang inovatif, inklusif dan terintegrasi teknologi sejajar dengan Malaysia 5.0.

 

"Malah, ia telah dibuktikan menerusi peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh sektor berkenaan sehingga Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-dagang utama di ASEAN.

 

"Ini berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah AS$11.4 bilion tahun lalu iaitu peningkatan 6% tahun ke tahun," katanya dalam kenyataan baru-baru ini. 

 

Laporan suku pertama KDNK yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis menyaksikan indeks jualan runcit dalam talian menggambarkan aktiviti e-dagang, mencatat pertumbuhan 18.3% dari tahun ke tahun.

 

Susulan itu, MDEC menyambut baik pembentangan laporan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2021 yang menyaksikan pencapaian lebih baik berbanding suku-suku sebelumnya dengan beberapa petunjuk ekonomi mempamerkan peningkatan.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC mengalu-alukan laporan suku pertama KDNK negara yang telah memberi petunjuk dan hasil oleh kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara.

 

Sehubungan itu, katanya, MDEC akan terus memberi sokongan diperlukan kepada syarikat-syarikat tempatan serta anak Unicorn tempatan yang berpotensi untuk muncul sebagai syarikat unicorn dan seterusnya mengembangkan sayap ke pasaran global.

 

"MDEC mahu terlibat dalam penciptaan lebih banyak syarikat tempatan bertaraf global yang selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara (MyDigital) dan mencapai cita-cita menjadi Nadi Digital ASEAN,” katanya.

 

Pada April lalu, MDEC melancarkan inisiatif 'MyDigital Workforce Work In Tech' (MYWiT), program pengambilan pekerja dan latihan bertujuan untuk merancakkan sektor perkhidmatan digital perniagaan serta melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti di Malaysia. 

 

Objektif inisiatif ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pemberian subsidi kepada pekerja dan majikan  menerusi insentif gaji dan latihan bernilai RM100 juta. 

 

Dijangkakan lebih daripada 300 syarikat dalam sektor teknologi akan mendapat manfaat menerusi program ini dan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan sasaran bagi menghasilkan 1,000 tenaga kerja teknologi berkualiti tinggi. - DagangNews.com