Memahami kepentingan dasar monetari dan fiskal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 September 2021

 Memahami kepentingan dasar monetari dan fiskal

 

 

TERDAPAT 2 jenis alat yang digunakan oleh kerajaan dalam mempengaruhi ekonomi negara - monetari dan fiskal. Apakah yang kita kena tahu tentang kedua-dua alat ini?

 


Dasar monetari

 


Dasar monetari adalah berkaitan pengurusan kadar faedah atau kadar keuntungan dan jumlah bekalan wang yang beredar dalam ekonomi dan dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Ia adalah dasar makroekonomi yang digunakan oleh kerajaan untuk mencapai objektif makroekonomi seperti inflasi, permintaan, pertumbuhan dan kecairan. 

 

Salah satu alat yang digunakan BNM untuk mengawal bekalan wang dalam ekonomi adalah menggunakan kadar dasar semalaman (OPR). Ketika ini, OPR dikekalkan pada 1.75% setahun. 

 

Jika bekalan wang dalam ekonomi kurang, BNM akan menurunkan OPR. Penurunan ini akan memberi kesan kepada BLR/BFR/BR bank-bank dan ia menjadikan orang ramai mula berbelanja kerana kadar faedah/kadar keuntungan akaun simpanan/akaun pelaburan di bank-bank adalah rendah.

 

Dan, kadar faedah untuk pinjaman dan kadar keuntungan untuk pembiayaan juga akan menjadi rendah.

 

Penulis berpendapat, dasar monetari ini adalah berkaitan dengan pembekalan wang, yang dikendalikan melalui faktor-faktor seperti kadar faedah dan keperluan rizab (CRR) untuk bank. 

 

Sebagai contoh, untuk mengawal inflasi yang tinggi, pembuat dasar seperti BNM, boleh menaikkan kadar faedah (OPR), dan dengan itu ia akan mengurangkan bekalan wang.

 

Penulis juga ingin menambah yang dasar monetari ini hanya boleh digunakan dalam ekonomi pasaran (market economy), tetapi bukan dalam ekonomi fasis, komunis atau sosialis. 

 

John Maynard Keynes merupakan seorang pakar ekonomi yang menyokong tindakan campur tangan kerajaan menggunakan alat-alat dasar sebegini untuk merangsang ekonomi semasa kemelesetan dalam ekonomi pasaran.

 

BNM
Bank Negara Malaysia ketika ini mengekalkan kadar OPR serendah 1.75%.

 

 

Dasar fiskal

 


Dasar fiskal pula adalah pengurusan ekonomi dalam pengawalan kadar cukai dan perbelanjaan kerajaan bagi menggalakkan transaksi unit-unit ekonomi negara. 

 

Ia merujuk kepada tindakan kerajaan dalam urusan berkaitan dengan cukai dan perbelanjaan kerajaan.

 

Sekiranya, kerajaan mahu merangsang pertumbuhan dalam ekonomi, ia akan meningkatkan perbelanjaan untuk barangan dan perkhidmatan. 

 

Kerajaan juga boleh menurunkan cukai. Ini akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan. 

 

Penurunan perbelanjaan kerajaan dan kenaikan cukai akan menurunkan permintaan keseluruhan dalam ekonomi.

 

Pada penulis, dasar fiskal ini adalah berkaitan dengan perbelanjaan kerajaan dan kutipan hasil. 

 

Sebagai contoh, apabila permintaan kepada barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi adalah rendah, kerajaan boleh melangkah dan meningkatkan perbelanjaannya untuk merangsang permintaan tersebut. 

 

Atau ia boleh menurunkan cukai untuk meningkatkan pendapatan boleh guna untuk orang dan juga syarikat. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags