Memaknakan erti `Keluarga Malaysia' menerusi `Malaysia Prihatin' (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Memaknakan erti `Keluarga Malaysia' menerusi `Malaysia Prihatin' (SURAT PEMBACA)

Saudara pengarang,

 

Secara literal, terma keluarga dipercayai berasal dari istilah Latin iaitu ‘famulus’ yang bermaksud ‘hamba’ yang turut merangkumi saudara-mara dan pelayan rumah tuan.

 

Selain itu, keluarga boleh didefinisikan sebagai satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, sistem perkahwinan atau kaedah pengambilan anak angkat.

 

Pada sisi yang lain, masyarakat Barat menganggap institusi kekeluargaan sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti perkahwinan dan pengambilan anak angkat.

 

Menurut konteks sosiologi pula, keluarga dirujuk sebagai unit sosial minimum yang terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak.

 

Jika ditinjau dari sudut yang lebih luas lagi, kekeluargaan ditafsirkan sebagai satu “sistem organisasi sosial berdasarkan kepada hubungan keluarga yang nyata atau dugaan” (Encyclopaedia Britannica).

 

Oleh yang demikian, terma kekeluargaan boleh ditafsirkan sebagai tidak hanya tertumpu kepada ikatan perkahwinan atau pembiakan semata-mata; malah ia boleh melibatkan sebilangan besar kumpulan atau individu berdasarkan hubungan sosial mereka dalam sesebuah komuniti.

 

Jika ditelusuri lembaran sejarah penubuhan negara Malaysia yang berdaulat lagi tercinta ini pada 16 September 1963, kita tidak dapat menafikan sama sekali bahawa ia telah mengalami pelbagai proses transisi; juga transformasi yang cukup panjang penuh berliku.

 

Secara dasarnya, dalam usaha ke arah mencapai nikmat sebuah negara yang merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, ia sememangnya tidaklah seindah yang kita gambarkan.

 

Ini kerana ia terbina megah atas hasil keringat dan air mata serta darah sebagai galang gantinya oleh perjuangan suci para pejuang terdahulu termasuklah Datuk Maharajalela, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain- lain lagi demi membebaskan tanahair tercinta ini daripada terus dijajah.

 

Pelbagai halangan dan kekangan tersebut telah berjaya ditempuhi yang akhirnya ia telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan untuk sama-sama disyukuri iaitu penubuhan sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat seperti mana yang kita sedang kecapi sekarang.

 

Dalam dimensi yang lain pula, perkataan prihatin pula boleh ditafsirkan sebagai tindakan mengambil berat atau perhatian terhadap sesuatu perkara (Kamus Dewan Edisi Keempat).

 

Menurut konteks ‘Malaysia Prihatin’, ia menzahirkan sikap cakna oleh pihak kerajaan dalam memberikan keutamaan terhadap kelangsungan nasib dan kebajikan rakyat yang terjejas menerusi pelaksanaan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).


 

logo

 

 

Ini sejajar dengan gaya kepimpinan baharu yang telah ditegaskan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri yang mana beliau berazam untuk memastikan kebajikan rakyat agar terus terbela secara kolektif lagi responsif; lebih-lebih ketika mana negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 ini.

 

Ini dizahirkan dengan idea penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-1 pada era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kini bakal dianggotai oleh kedua-dua belah pihak; sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang bagi sama-sama berunding dan mencari penyelesaian terbaik terhadap sistem pengurusan masalah rakyat; sama ada secara makro juga mikro demi kesejahteraan rakyat secara holistik.

 

Jika ditinjau dari konteks di atas ini, negara tercinta kita ini sesungguhnya dianugerahkan dengan pelbagai nikmat yang wajar kita syukuri; termasuklah nikmat kemerdekaan sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dan perpaduan yang menjadi faktor penyumbang ke arah kelangsungan kemampanan masyarakat majmuk sedari dahulu lagi.

 

Kepelbagaian budaya bangsa dan agama yang tersendiri amatlah diraikan secara bersama sesama warga masyarakat dalam suasana yang cukup damai lagi harmoni sebagai sebuah keluarga Malaysia yang besar.

 

Dalam hal ini, kita juga turut berasa bertuah kerana turut dikurniakan dengan figura-figura hebat yang bersikap cakna lagi prihatin terhadap kebajikan individu lain.

 

Siapa yang tidak kenal kemurahan hati Ustaz Ebit Liew yang tidak jemu-jemu untuk ‘turun padang’ menerusi konsep ‘terjah dan sumbang’ demi merealisasikan usaha kebajikan beliau dalam menghulur bantuan kepada warga masyarakat yang kurang bernasib baik dan telah diberikan pengiktirafan oleh pelbagai entiti atau organisasi samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa?

 

Selain itu, kita juga mempunyai insan luhur seperti Kuan Chee Heng atau lebih mesra untuk dikenali sebagai Uncle Kentang; seorang aktivis sosial yang tidak pernah sesekali menjadikan jurang perbezaan agama juga bangsa sebagai penghalang untuk beliau terus menabur bakti seikhlas hati tanpa sebarang kepentingan peribadi.

 

Segala kerja amal dan kesungguhan beliau itu rupa-rupanya turut mendapat perhatian oleh Ratu Elizabeth II yang telah bersetuju untuk mengurniakan  anugerah ‘Point of Light’ sempena sambutan ulang tahun baginda pada 12 Jun 2021 yang lalu.

 

Apa yang jelas, slogan ‘Malaysia Prihatin’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri telah dan sedang disambut baik oleh segenap lapisan rakyat Malaysia dalam usaha untuk memastikan agar tiada seorang pun daripada mereka yang tercicir daripada menikmati hasil kepimpinan dan kemakmuran bumi Malaysia ini yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.

 

Oleh yang demikian, penulis ingin mengajak semua lapisan warga masyarakat negara ini agar segera membuang jauh-jauh akan segala bentuk jurang perbezaan murahan yang tentunya akan menjadi parasit dalam merencatkan masa depan bumi Malaysia yang tercinta ini.

 

Dengan menghayati semangat ‘Keluarga Malaysia’ menerusi pemilihan slogan ‘Malaysia Prihatin’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan ke-64 bagi tahun ini, kita sewajarnya bersikap cakna dan prihatin antara satu sama lain dengan berpaksikan kepada semangat muafakat dan kebersamaan dalam suasana yang harmoni dan kekal sejahtera; lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi yang penuh getir ini; bak kata peribahasa ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’.

 

Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 dan Dirgahayu Malaysia selamanya!

 

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Melaka