Mempromosikan Ekosistem Digital melalui Insentif Cukai, Bajet 2022 | DagangNews Skip to main content

Mempromosikan Ekosistem Digital melalui Insentif Cukai, Bajet 2022

Oleh PROF MADYA DR ONG TZE SAN

 

 

DUNIA digital telah banyak mempengaruhi kehidupan seharian kita, serta perubahan merangkumi dari segi ekonomi dan masyarakat kita berfungsi.

 

Skop dan kelajuan peralihan digital membawa perubahan adalah amat menakjubkan, dan ia menimbulkan pelbagai cabaran kepada penguatkuasa. Banyak perniagaan telah menceburi atau bertransfomasi ke dunia digital semasa COVID-19. 

 

Selaras dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan ekosistem digital, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) terus memberi tumpuan untuk meningkatkan pendigitalan bagi memperkukuhkan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

 

Menurut YCP Solidiance, ekonomi digital negara dianggarkan bernilai lebih daripada RM270 bilion, yang bersamaan dengan kira-kira 18% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia. 

 

Ini juga menjadikan Malaysia berada di kedudukan yang kedua tertinggi sebagai sebuah negara yang paling maju dari segi pendigitalan di Asia Tenggara dalam Indeks Ketersambungan Global Huawei (Huawei's Global Connectivity Index).

 

prog

 

 

Pendigitalan telah menpermudahkan kerja jauh, mengautomasikan proses atau memudahkan transaksi tanpa sentuhan. 

 

Memang tidak dinafikan, teknologi digital telah memainkan peranan penting dalam memastikan dunia masih beroperasi semasa pandemik COVID-19.

 

Hasil daripada peningkatan penggunaan teknologi digital telah mendorong masyarakat lebih dekat kepada penciptaan ekonomi pintar, yang menjanjikan kaedah baharu untuk firma berkembang dan menjadi lebih produktif.

 

Data juga menunjukkan pendigitalan menyelamatkan banyak syarikat yang terjejas akibat dairpada pandemik COVID-19, malahan syarikat yang bertransfomasi dalam aspek pendigitalan berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 

 

 

mydigital

 

 

Selain itu, pelancaran agenda MyDIGITAL juga berhasrat menjayakan aspirasi untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan.  

 

Usaha kerajaan seperti menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan, menambahbaik dan menaik taraf  infrastruktur dan perkhidmatan digital yang bermaktlamat untuk memperkukuhkan ekosistem digital di Malaysia. 

 

Selain itu, kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah besar untuk membantu transformasi digital, termasuk pemberian insentif kewangan dan cukai.

 

Mengikut Bajet 2022, insentif cukai akan ditawarkan untuk aktiviti di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (Digital Ecosystem Acceleration Scheme, DESAC). Cadangan itu amat bermanfaat kepada ekosistem digital negara.

 

DESAC memfokuskan kepada dua jenis penyedia:
(1) penyedia teknologi digital (
digital technology providers, DTP) dan
(2) penyedia infrastruktur digital (
digital infrastructure providers, DIP).

 

Syarikat baharu di bawah DTP tertakluk kepada kadar cukai pendapatan 0% hingga 10%; selama sepuluh tahun, manakala bagi firma sedia ada di bawah DTP yang mempelbagaikan aktiviti dan sektor perkhidmatan baharu tertakluk kepada kadar cukai pendapatan 10% selama 10 tahun.

 

Sementara itu, DIP menawarkan jumlah kredit cukai pelaburan sebanyak 100% ke atas perbelanjaan modal yang boleh diimbangi sehingga 100% daripada pendapatan berkanun untuk tempoh selama sepuluh tahun.

 

DESAC akan berkuatkuasa untuk permohonan yang diterima oleh MIDA dari 20 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2025.

 

 

myfuturjobs

 

 

Selain insentif cukai, Bajet 2022 juga menyediakan rebat cukai kepada perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Rebat cukai sehingga RM20,000 setiap tahun, akan diberikan keapda PKS baharu untuk tiga tahun pertama, dan dijangkakan akan dilanjutkan ke tempoh yang akan datang.

 

Rebat cukai ini akan diguna pakai bagi PKS yang ditubuhkan dan mula beroperasi sebelum 31 Disember 2022. Kerugian syarikat juga boleh dibawa ke tahun akan datang selama 10 tahun maksimumnya berbanding 7 tahun sebelumnya. 

 

Rebat berjumlah RM20,000 ini akan membantu PKS  terutamanya mengurangkan kos operasi dan dalam proses transfomasi digital. Rebat cukai ini akan menarik lebih banyak PKS dalam menceburi ekonomi digital.

 

Baget 2022 juga memawarkan pengecualian duti setem sepenuhnya untuk pinjaman P2P (peer-to-peer lending) atau perjanjian pembiayaan yang dilaksanakan. 

Bajet 2022

Pinjaman P2P merujuk kepada pinjaman yang dilakukan apabila pelabur meminjamkan wang kepada individu dan perniagaan (PKS) melalui platform dalam talian.  

 

Ini membolehkan peminjam mendapatkan pinjaman tanpa perlu melalui syarat ketat insitusi kewangan seperti bank. 

 

Pengecualian duti setem ini akan diberikan kepada P2P antara PKS dan pelabur bagi tempoh dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.

 

Harus ditekankan bahawa pengecualian duti setem hanya tertakluk kepada pembiayaan P2P yang disediakan melalui platform P2P yang didaftarkan dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja. 

 

Insentif cukai yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 untuk mempromosikan ekosistem digital adalah selaras dengan pelan “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau WKB 2030”, yang bertujuan untuk mencapai pembangunan ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan masyarakat menjelang 2030.

 

Ekonomi digital adalah satu daripada Aktiviti Utama Pertumbuhan Ekonomi (WKB 2030), dan Malaysia berhasrat untuk berada di barisan hadapan pembangunannya.

 

 

ntah

 

 

Secara keseluruhannya, kadar cukai dan insentif cukai yang menarik ini sudah tentu akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dalam menarik pelaburan modal dalam jangka masa yang panjang terutamanya membangunkan atau menaik taraf infrastruktur digital, serta menarik lebih ramai pihak menceburi dalam ekosistem digital.

 

Insentif cukai, Bajet 2022 tiba tepat pada masanya, terutamanya kini, Malaysia melangkah dalam pelan pemulihan negara yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Banyak perniagaan mengalami masalah kewangan akibat COVID-19. Dengan adanya kadar cukai dan insentif cukai ini, orang ramai akan berminat untuk menceburi dunia digital. 

 

Penglibatan perniagaan dan orang ramai dalam dunia digital akan mengelakkan perniagaan mengalami kerugian yang besar serta memanfaatkan perkembangan ekonomi negara.  – DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr Ong Tze San adalah pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.