Menanti dividen KWSP 2020  | DagangNews Skip to main content

Menanti dividen KWSP 2020 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


Ada banyak sebab mengapa dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2020 yang akan diumumkan hujung minggu ini amat dinanti-nantikan. 

 

Tahun 2020 menjadi tempoh paling mencabar apabila ekonomi tidak boleh bergerak seperti biasa, syarikat gulung tikar dan ramai hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

 

Lebih menyedihkan, ada syarikat yang belum melangsaikan caruman bekas pekerjanya walaupun syarikat sudah bungkus sebelum krisis wabak ini lagi. 

 

Jadi, berikut adalah fakta yang harus anda tahu terlebih dahulu sebelum KWSP mengumumkan dividen 2020 dijangka Sabtu ini: 

 

  • Dividen KWSP 2019 adalah terendah dalam tempoh 10 tahun manakala simpanan syariah yang baru diperkenalkan pada 2017 juga merekodkan dividen terendah. Bagi tahun kewangan berakhir 2019, KWSP telah mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% melibatkan agihan RM41.68 bilion untuk konvensional dan dividen sebanyak 5% bagi syariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.14 bilion.

 

  • Semua caruman di KWSP akan dibayar dividen dan dijamin oleh kerajaan pada kadar minimum 2.50% bagi Simpanan Konvensional.Kadar dividen untuk Simpanan Syariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP.

 

  • Kebanyakan penganalisis membuat jangkaan KWSP mampu membayar dividen 2020 antara 4.5 hingga 5% berdasarkan situasi semasa ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan prestasi pelaburan KWSP

 

  • Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 adalah terburuk sejak 1998 dengan menguncup 5.6% setelah tiga suku berturut-turut merekodkan pertumbuhan negatif. Kadar pengangguran meningkat setinggi 5.3% pada Mei dengan 826,100 orang hilang pekerjaan apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama 3 bulan mulai 18 Mac 2020 dan keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan caruman KWSP

 

  • Dengan 14.6 juta pencarum setakat ini, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM37.83 bilion bagi tempoh 9 bulan pertama 2020. Berdasarkan anggaran yang dibuat sebelum ini, dana ini secara dasarnya mampu untuk membayar dividen sekurang-kurangnya 4.1% bagi simpanan konvensional. KWSP belum lagi mengumumkan prestasi suku keempat 2020

 

  • Berdasarkan prestasi berkala secara sukuan 2020 pula, pendapatan kasar KWSP terus meningkat sebanyak RM17.83 bilion pada suku ketiga, berbanding suku kedua, RM15.12 bilion dan suku pertama, RM12.16 bilion. Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM16.87 bilion pada suku ketiga (selepas mengambil kira rosot nilai dan turun nilai kos atas ekuiti tersenarai) manakala suku kedua, RM13.46 bilion dan suku pertama, RM7.5 bilion. 

 

  • Kedudukan kewangan KWSP sepanjang tiga suku pertama pada tahun ini dipengaruhi oleh turun naik dalam sentimen pasaran yang diburukkan lagi oleh ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19 serta sentimen pengguna yang masih berada pada tahap yang lemah

 

  • Indeks ekuiti global yang dipantau secara terperinci oleh KWSP telah meningkat semula daripada paras terendah pada Mac lalu, namun masih terdapat indeks yang masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik, iaitu pada akhir 2019. Pelaburan dalam instrumen Pendapatan Tetap telah menyumbang 47% kepada pendapatan pelaburan kasar pada suku ketiga 2020

 

  • Pada akhir September 2020, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM941.77 bilion, terdiri daripada 68% yang diperuntukkan dalam pasaran domestik dan 32% bagi pasaran luar negara, yang juga menyumbang sebanyak 45% kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun ketiga

 

  • Berdasarkan kelas aset pada suku ketiga, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 49% (RM8.18 bilion) daripada pelaburan manakala Ekuiti sebanyak 39% (RM7.29 bilion). Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing merangkumi 7% dan 5% daripada pelaburan. Portfolio ini mencerminkan strategi KWSP untuk mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA)

 

  • Bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan akibat pandemik COVID-19, KWSP membenarkan pengeluaran menerusi Akaun 2, i-Lestari sejak April 2020. Ia melibatkan 4.88 juta pencarum dengan pengeluaran berjumlah RM14.41 bilion antara 12 April dan 18 Disember 2020. Ini mewakili kira-kira 1.5% daripada keseluruhan aset KWSP

 

  • Dalam kenyataan 6 Januari lalu, KWSP meluluskan 2.5 juta permohonan i-Sinar daripada jumlah keseluruhan sebanyak 3.88 juta, sejak permohonan di bawah Kategori 1 dibuka bermula 21 Disember 2020. Jumlah pengeluaran yang diluluskan adalah sebanyak RM19.62 bilion, dengan pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion, yang telah dibuat secara berperingkat bermula 5 Januari lalu

 

  • Penganalisis berpendapat strategi KWSP yang berpandukan SAA memberi sokongan kepada prestasi KWSP di mana risiko pelaburan tidak ditentukan mengikut kelas aset sahaja. Dalam hal ini, KWSP boleh menampung aliran keluar daripada langkah kecemasan yang diumumkan kerajaan kerana selain prestasi pelaburan, KWSP juga sentiasa fokus kepada pengurusan aliran tunai

 

Sumber : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Sumber : Laman web Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

 


Sebahagian besar daripada kita sebenarnya menjadikan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Disember lalu sebagai penanda aras bagi dividen KWSP. 

 

Ramai mengharapkan dividen kali ini sekurang-kurangnya menyamai atau lebih tinggi daripada dividen ASB, pada 4.25 sen seunit. 

 

Sedangkan kedua-dua dana pelaburan ini memainkan peranan dan fungsi yang berbeza. Malah, pendedahan kepada risiko pelaburan juga berbeza. 

 

KWSP diberi mandat untuk memiliki portfolio yang seimbang bagi memenuhi keperluan pencarum yang akan bersara, justeru, kebanyakan pelaburannya adalah dalam instrumen kurang berisiko pulangan rendah. 

 

Bagi PNB pula, dana ini memberi tumpuan untuk meningkatkan penyertaan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, dan antara pegangan utama PNB ialah Maybank dan kumpulan syarikat Sime Darby. 

 

Setakat ini, KWSP menguruskan dana hampir RM1 trilion manakala aset di bawah pengurusan PNB pula bernilai RM300 bilion. 

 

Walaupun terdapat jangkaan, bayaran dividen KWSP 2020 adalah kali pertama melebihi ASB tetapi pencarum perlu lebih realistik dengan keadaan semasa. Kalau lebih, itu namanya 'rezeki'.

 

Tetapi bagi mereka yang carumannya 'tidak cantik' akibat syarikat terdahulu bermasalah, bawalah bersabar. Moga ada sinar menanti di tahun 2021. - DagangNews.com