Mencari rumah banglo di kejiranan elit Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 6 January 2022

Mencari rumah banglo di kejiranan elit Dubai

 

 

SATU daripada kemudahan yang disediakan oleh majikan ialah untuk tinggal di sebuah banglo. Ini adalah satu peluang untuk kami sekeluarga menetap di sebuah kawasan yang agak eksklusif. Bukan lagi sebuah apartmen.

 

Saya memberitahu isteri untuk dia mencari kawasan mana yang sesuai dan agak berdekatan dengan tempat kerja serta sekolah anak-anak. Anak-anak pun sudah membesar dan perlukan ruang untuk kehidupan yang lebih bermanfaat.

 

Kebetulan kerja yang ditawarkan beserta pendapatan saya agak tinggi untuk hidup agak senang dengan famili.

 

Mungkin di Jumeirah atau Mirdif antara tempat yang dicari dan saya menyerahkan keputusan. Lebih penting digemari oleh famili kerana saya kesibukan dengan kerja.

 

Dari pagi hingga pukul tiga waktu pejabat banyak membantu saya sebagai penulis. Saya terus menulis di laman-laman web reformasi selain Harakahdaily dan KLPos.

 

Sementara itu saya telah menyerahkan tugasan saya kepada Yusuf Islam. Saya terasa sangat bersyukur kerana dapat bekerja dengan seorang penyanyi terkenal di dunia. Dapat berkenalan dengan ramai agamawan dari seluruh dunia, superstar seperti Dolly Parton, Peter Gabriel serta peminat-peminat beliau.

 

Hampir tiga tahun sebagai pengurus besar Mountain of Light banyak memberikan pengalaman yang tidak disangka. Bermacam peristiwa dengan Yusuf Islam yang masih saya ingat.


 

fudzail
Yusuf Islam dalam gambar untuk majalah Esquire Middle East.

 


Bertemu agamawan dan sarjana Islam adalah kepuasan. Sebagai anak ulama sekurangnya mengingatkan saya pada arwah abah.

 

Begitupun saya tidak mungkin lama dengan Yusuf kerana peluang yang semakin banyak di Dubai. Apalagi mendapat tawaran dari Saeed Ahmad Saeed, CEO Pulau Palma sebagai ketua telekomunikasi. Satu peranan yang besar dan menjanjikan kerjaya yang mencabar.

 

Saya amat bersyukur dibuang oleh TV3 kerana rezeki telah ditentukan oleh Tuhan. Dari Riyadh untuk naik haji tanpa visa hingga dapat ke Dubai Internet City, kemudian Dubai Media City, kembali sebagai sekretari CEO Dubai Internet City.

 

Tidak sangka semua kerja yang saya buat amat menggembirakan dengan kepuasan. Selain gaji yang banyak untuk seseorang dari Malaysia dengan penghormatan yang diberi.

 

Dapat bekerja dalam teknologi maklumat, integrasi, pemasaran dan dipanggil bekerja dengan Dubai Satelit dari tiada apa-apa hingga muncul satelit. Dapat bekerja dengan Reuters, MBC, CNN dan lain-lain penyiaran.

 

Semua itu tidak mungkin kalau masih dengan TV3. Walaupun sebagai pengarah pantai timur dan Malaysia timur, kerja terakhir saya cukup memberi saya peluang untuk meninjau Sarawak dan Sabah. Dapat berjalan di kedua-dua negeri dan bersahabat dengan orang tempatan. Itulah satu kelebihan.


 

fudzail

 


Saya tidak memandang ke belakang dan telah memaafkan orang-orang yang menghalang kerjaya saya. Buat apa dikenang semua terjadi kerana begitu kehendak Tuhan. Bagi saya, apa pun terjadi kepada saya hanya kepada Tuhan tempat mengadu.

 

Jawatan ketua telekomunikasi Pulau Palma adalah jawatan tinggi yang saya tidak termimpikan. Mungkin bekerja hanya sebagai pembantu untuk projek yang menelah bilion dolar Amerika. Pulau buatan manusia yang terbesar di dunia cukup menguja.

 

Maka saya perlu pindah dari apartmen ke sebuah rumah banglo dengan kawasan yang agak luas. Bersyukur dengan pemberian yang sedikit sebanyak memberikan saya peluang untuk lebih mesra dengan rakyat Malaysia di Dubai.

 

Pada waktu telah ramai rakyat Malaysia menetap di Dubai. Ada bekerja telekomunikasi, Etisalat, Emirates, bank, kejuruteraan dan hartanah. Boleh dikatakan kami saling berhubung.


 

Al Twar 3

 


Dalam meninjau banyak rumah sewa, saya tertarik dengan sebuah rumah di kawasan Al Twar 3.

 

Kawasan Al Twar 3 diduduki oleh orang Arab tempatan. Semua rumah adalah banglo dengan kawasan yang luas.

 

Rumah itu tiada penyewa hampir setahun. Semasa melawat rumah masih kosong dengan empat bilik dan dua buah bilik di luar. Dalam seluas seekar. Cukup buat anak-anak untuk tinggal dengan sebaiknya.


 

fudzail
Banglo didiami penulis di Al Twar 3 semasa merantau di Dubai. Gambar Affandy Shaary

 

fudzail
Kawasan luas menjadi medan sesuai mengadakan majlis perhimpunan rakyat Malaysia di Dubai. Gambar Affandy Shaary

 

 

Setelah berbincang dengan tuan rumah, seorang Arab tempatan yang baik saya terus bersetuju.

 

Oleh kerana majikan memberikan lagi wang sebanyak Dirhan 60,000 untuk membeli segala perabot dan barang lektrik, saya memberi saja kepada orang barangan di apartmen. Semua sebagai pemberian yang direbut kerana masih elok kecuali barang permainan.

 

Harinya sudah tiba untuk pindah dengan gedung perabut berjanji untuk menghantar pada hari yang sama. Rumah kosong tanpa perabot dan takkan kami mahu tidur begitu sahaja.

 

Setelah menanti, gedung perabot tidak dapat menunaikan janji.

 

Malam itu, tidurlah kami di atas lantai.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags