Menduga keputusan persidangan ekonomi tahunan Jackson Hole 2021 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 4 August 2021

MENDUGA KEPUTUSAN PERSIDANGAN EKONOMI TAHUNAN JACKSON HOLE 2021

 

 

KETIDAKSTABILAN politik, kes COVID-19 yang masih lagi berbelas ribu sehari dan pertumbuhan ekonomi terus menjadi perhatian pelabur di Malaysia dan juga global.

 

Pelabur masih lagi berhati-hati buat masa ini dan tumpuan kini terarah kepada pengumuman serta perbincangan Persidangan Ekonomi Tahunan Jackson Hole yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Ogos 2021 ini dengan bertemakan “Dasar Makroekonomi Dalam Ketidaktentuan Ekonomi”.

 

Apa itu Persidangan Ekonomi Jackson Hole?

Persidangan Ekonomi Jackson Hole adalah persidangan tahunan, yang ditaja oleh Bank Rizab Persekutuan Kansas City sejak tahun 1978 dan akan diadakan di Jackson Hole, Wyoming. Sejak 1981 lagi, setiap tahun, persidangan ini memfokuskan pada isu ekonomi AS dan  ekonomi dunia.

 

Persidangan Ekonomi Jackson Hole adalah persidangan pusat yang paling lama di dunia. Persidangan ini adalah satu medan perbincangan terbuka mengenai isu-isu ekonomi.

 

Persidangan ini sangat penting kerana dianggotai oleh orang-orang penting seramai 120 orang  yang terdiri daripada pegawai bank pusat, anggota sistem Rizab Persekutuan, ahli ekonomi, organisasi kewangan, akademik, wakil kerajaan AS, dan anggota media.  Apa yang dibincangkan dalam Persidangan Ekonomi Jackson Hole ini mengenai ekonomi dunia,  akan mempengaruhi pegerakan pasaran khususnya dan mata wang dunia.

 

 

Hala Tuju Perbincangan Persidangan Jackson Hole Ogos Ini

Dengan bertemakan Dasar Makroekonomi Dalam Ketidaktentuan Ekonomi, persidangan kali ini dilihat akan menilai proses normalisasi dasar monetari Rizab Persekutuan.

 

Persidangan sebelum-sebelum ini telah membincangkan banyak isu lain ekonomi AS dan dunia dan tahun ini, dengan ketidaktentuan ekonomi dunia kesan daripada pademik COVID-19 pasti akan menarik perhatian seluruh dunia yang mahu tahu bagaimana dasar AS mampu mengembalikan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi dunia.

 

Tahun-tahun sebelum ini, isu-isu lain telah dibincangkan dalam persidangan ini seperti berikut:

2013: Dimensi Global Dasar Kewangan Tidak Konvensional;

2014: Menilai semula Dinamika Pasaran Buruh;

2015: Dinamika Inflasi dan Dasar Monetari;

2016: Merangka Kerangka Dasar Monetari yang Berdaya Tahan untuk Masa Depan.

2017: Memupuk Ekonomi Global yang Dinamik

2018: Perubahan Struktur Pasaran dan Implikasi Kepada Dasar Monetari

2019: Cabaran Kepada Dasar Monetari

2020: Menavigasi Dekad ke Depan: Implikasi Tergadap Dasar Monetari


 

Dalam keadaan semasa adakah Amerika Syarikat akan mengubah Dasar Monetari Rezab Persekutuan (The Fed)? atau mengekalkan pada keadaan semasa?

Kadar semasa yang ditetapkan oleh Bank Pusat, The Fed iaitu 0.25% yang mana kadar ini adalah kadar yang terendah yang pernah AS umumkan sejak krisis suprima pada 2008/2009.  Persidangan kali ini juga akan menilai prestasi ekonomi AS sebelum penetapan dibuat kepada kadar faedah ini.

 

 

volatiliti
Jerome Powell, Pengerusi Lembaga Gabemor Federal Reserve System Amerika Syarikat (kiri) dan Gabenor Bank of England, Mark Carney berbual selepas majlis ucapan di Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole pada Ogos 2019. Gambar AP

 

Apakah asas kepada penetapan kadar faedah ini dalam Persidangan Jakson Hole Ogos ini?

Pastinya, melihat kepada pertumbuhan ekonomi AS semasa, ia menjadi asas dalam penetapan kadar faedah ini. Penilaian semasa menunjukkan pertumbuhan ekonomi AS sebanyak 7% yang mana angka ini dilihat sebagai satu jumlah yang baik dan positif.

 

Kongres AS menerusi The Fed yang ditubuhkan pada 23 Disember 1913 dengan penguatkuasaan Akta Rizab Persekutuan, perlu memberi fokus kepada dua sasaran utama bagi proses pemulihan ekonomi AS iaitu mengawal kadar inflasi dan memaksimumkan pekerjaan di AS.

 

Persidangan kali ini perlu mengatur strategi bagi AS untuk menyelesaikan dua fokus ini yang mana kini kadar inflasi AS ialah pada 4.99% yang masih jauh dari sasaran mengembalikan kadar inflasi AS pada kadar 2%.

 

Tekanan inflasi di AS boleh dikaitkan dengan 3 faktor utama iaitu peningkatan kos input pengeluaran (tolakan kos), peningkatan permintaan agregat (permintaan tarik) dan jangkaan pengguna inflasi masa depan.

 

Selain itu AS juga perlu memberi tumpuan dalam mengwujudkan peluang pekerjaan bagi meminimumkan kadar pengangguran di AS yang berada kadar 5.8% pada masa kini.

 

AS Bangkit, Ekonomi Dunia Stabil

The Fed akan memantau kadar inflasi dengan ketat kerana ia adalah daya utama di belakang dasar monetari AS.  Ini adalah dasar monetari yang memberi kesan kepada tahap bekalan wang dan ketersediaan kredit dalam ekonomi AS dan pastinya akan mempengaruhi ekonomi dunia secara langsung.

 

Terbaru, Presiden AS Joe Biden mencadangkan belanjawan bernilai AS$6 trilion (RM24.8 trilion) dalam usaha memulihkan dan mencipta semula imej ekonomi AS. Langkah yang dibuat Biden ini dilihat berupaya meningkatkan hutang AS, namun ia bergantung sepenuhnya kepada kelulusan Kongres.

 

Di bawah rangka tindakan Biden, AS akan mengeluarkan AS$6.011 trilion pada 2022, dengan kenaikan secara beransur-ansur kepada AS$8.2 trilion (RM33.89 trilion) pada 2031.

 

Sebahagian besar AS$6 trilion adalah berkaitan dengan perbelanjaan infrastruktur. Pada awalnya, sektor itu diperuntukkan sebanyak AS$2.3 trilion (RM9.51 trilion), namun diturunkan kepada AS$1.7 trilion (RM7.3 trilion) trilion) selepas rundingan dengan Kongres.

 

Sebanyak AS$1.8 trilion (RM7.44 trilion) lagi diperuntukkan bagi perkhidmatan pendidikan dan sosial bertujuan membina tenaga kerja abad ke-21 yang lebih baik.

 

volatiliti
PEKAN Jackson Hole yang menjadi tarikan pelancong di Wyoming, Amerika Syarikat.

 

Pastinya walaupun tindakan Biden dalam mengumumkan cadangan perbelanjaan ini dianggap perbelanjaan yang baik untuk memulihkan ekonomi pada pasca pandemik namun ianya pasti  tidak mampu untuk kembali kepada keadaan sebelumnya.

 

Seperti yang kita semua tahu, ekonomi dunia sememangnya bergantung kepada ekonomi AS. Persidangan Pembangunan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengunjurkan ekonomi global tumbuh 4.7% tahun ini jika pemulihan ekonomi AS berjaya dilakukan dengan baik.

 

Kesan Kepada Ringgit dan Pasaran Saham

Jika Persidangan Ekonomi Jackson Hole kali ini memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah hampir sifar buat masa ini didorong oleh keadaan semasa ekonomi AS dan ia memberi bayangan akan memberi kesan kepada  Dollar AS dan ringgit dijangka akan terus mengukuh.  

 

Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata kadar faedah AS dijangka kekal pada 2.5% yang akan diputuskan dalam Perbincangan Jackson Hole dan The Fed tidak akan menyingkirkan rangsangan kewangan semasa sehingga kadar pekerjaan di AS kembali ke paras sebelum pandemik.

 

Juwai IQI mengunjurkan nilai saksama ringgit/dolar AS dalam suku ketiga 2021 pada lingkungan 3.90 hingga 4.15 dengan mengambil keputusan Persidangan Ekonomi Jackson Hole Ogos ini. Dijangka ringgit mengekalkan kestabilan strukturnya selepas Persidangan Ekonomi Jackson Hole.

 

Di dalam senario semasa, saham di AS telah meningkat dengan stabil dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan kini berada pada rekod baru, memperluas kenaikan yang menyaksikan S&P 500 memperoleh 13% dan Bon kerajaan AS juga meningkat setelah penjualan dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun penanda aras, yang bergerak ke arah harga pada 1.46% kira-kira 30 mata asas di bawah paras tertinggi tahun 2021.

 

Dengan keputusan persidangan itu nanti mengenai kadar faedah dan dasar monetari akan memberi kesan berantai kepada pasaran saham. Kadar faedah yang rendah ini akan membantu meningkatkan pasaran saham ke tahap tertinggi.

 

Memahami hubungan di antara kadar faedah dan pasaran saham dapat membantu pelabur atau pedagang runcit memahami bagaimana perubahan kadar faedah memberi kesan kepada pelaburan atau dagangan mereka di samping membuat keputusan pelaburan yang menguntungkan!   - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

Portfolio Tags