Mengapa dah 7 tahun baru nak dipersoalkan? | DagangNews Skip to main content

Mengapa dah 7 tahun baru nak dipersoalkan?

Saudara Pengarang, 

Tujuh tahun lalu Tan Sri Azam Baki memaklumkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull mengenai urusan pembelian saham olehnya bagi pihak adiknya, Nasir Baki namun perkara itu kembali berbangkit selepas sekian lama.

 

Malah, Azam telah bersifat jujur dengan berani berkongsi dan mendedahkan kepada umum bahawa segala urusan jual beli dan transaksi saham beliau dengan adiknya tidak melanggar mana-mana peraturan.

 

Perkara itu tidak menyalahi etika penjawat awam seperti dalam pekeliling. Apatah lagi terdapat bukti cek wang tersebut daripada adiknya sendiri.

 

Pembelian saham oleh Azam bagi pihak adiknya bermula Januari hingga Mei 2015 sebanyak 2.9 juta unit saham KBES Berhad (kini Gets Global Berhad) dengan nilai RM1.12 juta. Pembelian ini pun dibuat secara berperingkat sebanyak empat kali, bukanlah secara sekaligus.

 

Bagi setiap transaksi pembelian itu, ada bukti pembayaran. Jadi tiada isu penyelewengan di sini.

 

Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mana-mana penjawat awam membeli saham. Boleh berbuat demikian selagi ia tidak melebihi 5% daripada modal berbayar syarikat. Dalam konteks ini, ketika pembelian, modal berbayar syarikat KBES adalah sekitar RM100 juta. 

 

Jumlah yang dibeli oleh beliau tidak pun melebihi 5% yang ditetapkan. Tiada kesalahan dilakukan Azam dalam perkara ini.

 

Kemudian atas permintaan Nasir, Azam memindahkan sahamnya sebanyak 1.9 juta unit pada nilai RM657,000 kepada adiknya itu. Transaksi ini menyebabkan Nasir mengalami kerugian sebanyak RM69,000.

 

aza

Antara Julai dan September 2015, Azam membeli warrant (bukan saham) syarikat Excel Force MSC Berhad sebanyak 2.156 juta unit bernilai RM657,000. Pembelian ini tidak mencurigakan sebab beliau hanya menggunakan hasil duit jualan sahamnya.

 

Jual beli saham ini sememangnya terdedah kepada turun naik nilai. Baki saham beliau dalam KBES sebanyak 1,029,500 unit pada kadar 38 sen seunit, hanya sekitar RM391,210. 

 

Sementara unit saham dalam Excel Force MSC sebanyak 2,156,000 pada kadar 30 sen seunit sekitar RM646,800 menjadikan jumlah yang dimiliki adalah RM1.038 juta.

 

Bagaimanapun, pada 29 April 2016, Azam memindahkan kesemua pemilikan saham KBES sebanyak 1.029 juta unit dan 2.0 juta unit saham dalam Excel Force MSC kepada adiknya. Pindah milik ini juga bukanlah sesuatu perkara yang mencurigakan. Ini dilakukan setelah mendapat kebenaran dan Letter of Authorization.

 

Melalui pindah milik tersebut, secara atas dokumennya, Azam sudah tidak lagi memiliki apa-apa unit saham, bahkan beliau mengalami kerugian pula sehingga mencecah RM62,000 daripada harga asal pembeliannya pada 2015.

 

aza

Pemulangan saham kepada adiknya diselesaikan pada 2016 tetapi yang menghairankan, mengapakah isu ini timbul pada 2022?

 

Segala spekulasi yang mengatakan Azam mendapat keuntungan sehingga RM5 juta adalah berbentuk tohmahan dan fitnah jahat. Ini merupakan salah tafsir para netizen antara harga saham dan nilai seunit saham.

 

Malah, Azam sendiri menyerahkan dirinya kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk menyiasat dan percaya kebenaran akan diketahui semua orang suatu hari nanti. Sekiranya kes itu dirujuk, beliau juga bersedia menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.

 

Beliau juga yakin tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu. - DagangNews.com