Skip to main content
Kolum Iktisad - 23 November 2021

Mengapa 'pelanggaran' syariah boleh berlaku dan apa impaknya? 

 

 

DALAM bahasa kewangan Islam, ketidakpatuhan syariah dirujuk sebagai Shariah Non-compliant, yang merupakan antara isu sering dibangkitkan dalam pengaplikasian syariah membabitkan transaksi kewangan Islam.

 

 

Bagi industri kewangan, tadbir urus (governance) adalah kunci kepada kepatuhan (compliance). Setiap transaksi yang dilaksana dalam urusan kewangan Islam wajib mengikut tadbir urus yang ditetapkan pihak berwajib termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Tadbir urus yang ditetapkan pula kebiasaannya diterjemah dalam bentuk polisi, manual, panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh pihak-pihak pengurusan termasuk komuniti syariah bagi setiap institusi kewangan.

 

Apabila operasi yang dijalankan warga kerja institusi kewangan tidak patuh kepada SOP ditetapkan, contohnya, maka potensi untuk ketidakpatuhan syariah kemungkinan besar akan berlaku.

 

Dengan berlakunya 'pelanggaran' ini, maka pihak pengurusan risiko institusi kewangan akan membuat pertimbangan sejauh mana ketidakpatuhan syariah itu akan memberi impak kepada institusi kewangan tersebut.

 

Ketidakpatuhan syariah boleh dikategori kepada 3 keadaan:

 

 

Ketidakpatuhan yang parah  

 

  • Impak utama kepada ketidakpatuhan yang parah ialah segala perjanjian serta dokumen yang telah ditandatangani akan terbatal dan tidak boleh digunakan sama sekali. 

 

  • Sekiranya ia berlaku, maka pihak institusi kewangan tidak boleh mengiktiraf keuntungan yang telah dipungut oleh pelanggan.

 

  • Mereka harus menyalurkan kepada badan-badan kebajikan atau baitulmal. Perjanjian baharu harus dimeterai semula oleh institusi kewangan dan pelanggan.

 

 

Ketidakpatuhan yang sederhana

 

  • Untuk ketidakpatuhan yang sederhana pula, segala perjanjian serta dokumen yang dimeterai antara institusi kewangan dan pelanggan akan tergantung. 

 

  • Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai ‘fasid’. Ini bermakna, perjanjian tersebut tidak dapat dikuatkuasakan. 

 

  • Apa yang perlu dibuat adalah dengan memperbetulkan perjanjian tersebut sehinggalah ia dapat dilaksanakan. 

 

  • Segala keuntungan yang dipungut boleh diiktiraf sebagai pendapatan tertakluk kepada persetujuan komuniti syariah.

 

 

Ketidakpatuhan yang boleh diterima

 

  • Keadaan ini berlaku apabila ketidakpatuhan yang tidak membawa kepada pembatalan perjanjian yang telah dimeterai antara institusi kewangan dan pelanggan. Keuntungan yang diterima boleh diiktiraf. 

 

  • Namun, pihak komuiti syariah harus dimaklumkan untuk pengetahuan setiap ahli mereka tentang berlakunya ketidakpatuhan ini.

 

 

Oleh demikian, penulis menyeru agar setiap warga kerja di institusi kewangan Islam dapat memastikan mereka sentiasa membaca, memahami dan mengamalkan tadbir urus yang ditetapkan.

 

Ini dapat mengelakkan berlakunya ketidakpatuhan syariah yang mungkin membawa impak negatif kepada institusi kewangan tersebut. - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags