Skip to main content

Mengawal Kecanduan Gajet Tanggungjawab Ibu Bapa

Acap kali juga gajet disalahgunakan oleh ibu bapa kononnya sebagai ubat merawat anak-anak daripada menangis atau ‘buat perangai’.- Gambar Ludovic Toinel
oleh Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Albert Einstein, seorang pakar fizik yang mengutarakan teori relativiti yang agung pernah menjangka dan mengungkapkan: “Saya takut suatu hari nanti teknologi akan mengatasi interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi yang bodoh.”

 

Apakah kegusaran Einstein ini hanya ilusinya atau sudah menjadi kenyataan? Jawapannya kita boleh lihat sendiri di hadapan mata kita mutakhir ini. 

 

Di meja makan ketika sepatutnya semua ahli keluarga menikmati hidangan makan malam bersama-sama, pasti kita sering terjumpa keadaannya bila hampir semua ahli keluarga itu menunduk diam atau tersenyum-senyum seorang diri.

 

Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu, keadaan ini pastilah mengundang rasa pelik kerana duduk makan bersama-sama tapi sunyi sepi tanpa bicara. 

 

Dulu-dulu, suasananya rancak dengan perbualan atau riuh dengan gelak ketawa sekeluarga. Masa berkualiti berkumpul sekeluarga digunakan sebaik mungkin dan terserlah silaturahim yang cukup mengujakan.

 

Namun kini, situasi sebegini seakan-akan hendak pupus. Semua menunduk sepi kerana terpesona menatap skrin gajet. Itulah penangan perkembangan teknologi dan internet yang mudah dilayari melalui gajet.

 

Generasi bodoh

Bukankah ini keadaan ‘generasi bodoh’ yang dimaksudkan oleh Einstein? 

 

Ketagihan terhadap gajet dalam masyarakat semakin meluas dan mencandu. Kebanyakan kita kelihatan seakan-akan ‘mayat hidup’, meninggalkan realiti persekitaran, dan menikmati hidup di dunia maya.

 

parafrasa

 

Biar tiada sahabat bergelak ketawa di sisi, tapi dapat khayal bersosial di persada internet. Ketagihan itu bukan sahaja dirasai golongan dewasa tetapi kanak-kanak juga turut menerima tempiasnya. 

 

Disebabkan penggunaan gajet yang berlebihan ini, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan dalam masyarakat.

 

Memberi ruang menggunakan bahkan memberikan hak milik gajet kepada anak-anak seperti telefon bimbit, tablet dan seumpamanya kini umpama satu trend dalam kalangan ibu dan bapa.

 

Apatah lagi dalam suasana pandemik tidak berapa lama dulu yang kelihatan mewajarkan penggunaan gajet yang luar biasa dalam kalangan anak-anak untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi yang berkemampuan. 

 

Niat awal kelihatan bagus, gajet dikatakan mampu merangsang pemikiran anak-anak untuk meneroka ilmu tidak terbatas. Perisian-perisian dalam talian tertentu dikatakan mampu mendidik anak-anak dengan pelbagai wadah ilmu dan yang dikatakan sesuai dengan peringkat umur anak-anak yang berbeza. 

 
 

parafrasa

 

Salah cara

Anak-anak menjadi terkawal dan diam dan ibu bapa tidak akan terganggu untuk menyelesaikan aktiviti masing-masing. Tapi malangnya, ia acap kali juga disalahgunakan oleh ibu bapa kononnya sebagai ubat merawat anak-anak daripada menangis atau ‘buat perangai’.

 

Akibatnya, kanak-kanak akan menghabiskan masa berjam-jam untuk meneroka bukan sahaja segala aplikasi pembelajaran bahkan permainan yang mudah dimuat turun dalam gajet berkenaan.

 

Kemahiran bersosial juga kelihatannya menjadi terhad dan ruang lingkup mahabbah dan silaturahim menjadi sempit. Menjadi lumrah, bila ada pertemuan sekeluarga sekarang ini, semua berkumpul bukan untuk bertanya khabar bertukar cerita, tapi duduk berkumpul bersama-sama tapi melayan gajet masing-masing. 

 

Banyak kajian telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk memerihalkan buruk dan baiknya fenomena ‘melekat dengan gajet’ dalam kalangan anak-anak.

 

Penggunaan gajet elektronik secara berlebihan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak membawa kesan sama seperti yang dialami penagih dadah.

 

Pakar kanak-kanak bersetuju bahawa kecanggihan teknologi membawa masalah baharu kepada pertumbuhan kanak-kanak dan memberi amaran kepada ibu bapa terhadap penggunaan gajet elektronik, termasuk telefon bimbit sebagai agen pengawal mereka. 

 

parafrasa

 

Ketagihan gajet serupa dadah

Penggunaan gajet elektronik berlebihan menyebabkan simptom sama seperti yang dialami penagih dadah.

 

Penyalahgunaan dadah dalam jangka panjang diketahui akhirnya akan mengubah otak pengguna dan mereka memerlukan lebih banyak dadah untuk menghasilkan keseronokan atau khayalan yang sama. Penggunaan gajet elektronik berlebihan didapati membawa kesan yang sama seperti dadah. 

 

Fenomena dan kesan negatif kecanduan gajet ini perlu dilihat dan ditangani secara serius oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.

 

Banyak kaedah yang boleh diaplikasikan, namun yang paling utama adalah ibu bapa boleh menunjukkan dahulu teladan dalam penggunaan gajet secara berhemah.

 

Andai anak-anak ‘dikuatkuasakan’ dengan peraturan menggunakan gajet, namun ibu bapa pula boleh berleluasa menggunakannya tanpa had, maka ia ibarat mencurah air ke daun keladi. 

 

Selain itu banyak panduan lain disyorkan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak. Antaranya: 

 

  1. Ibu bapa perlu memantau dan mengawal selia penggunaan gajet oleh anak-anak. Antaranya, dengan cara membuat peraturan khas dalam aspek masa dan had penggunaan gajet anak-anak setiap hari.

    Mungkin boleh dicadangkan bahawa had penggunaan gajet terhadap kanak-kanak hanya satu jam pada waktu pagi dan sejam pada waktu petang manakala pada waktu malam pula penggunaan gajet adalah sifar demi meluangkan masa bersama keluarga dengan berkualiti. 

 

parafrasa

 

  1. Penggunaan gajet hanya di ruangan tertentu sahaja di dalam rumah dan ruangan itu mestilah mudah dipantau oleh ibu bapa, misalnya di ruang tamu, di bilik belajar atau di ruangan santai.

    Ini membantu ibu bapa melihat secara langsung berapa lama dan apa yang sedang dilayari oleh anak-anak melalui gajet tersebut. 


     

  2. Jangan biarkan anak-anak melayari gajet bersendirian sepanjang masa, kerana dikhuatiri tanpa sedar anak-anak melayari sesuatu yang tidak sepatutnya mereka muat turun atau tonton di laman maya.

    Tentukan apakah jenis aplikasi permainan atau pembelajaran yang boleh dilayari atau dimuat turun oleh anak-anak.

    Syarikat antivirus komputer terkenal iaitu Kaspersky Lab ada memberikan panduan komprehensif bagaimana ibu bapa boleh mewujudkan apa dipanggil sebagai Parental Control untuk mengawal penggunaan internet melalui gajet oleh anak-anak. 


     

  3. Gajet sebagai alat ganjaran dan hukuman. Kaedah ini menggalakkan anak-anak untuk berusaha membuat sesuatu seperti membuat ulang kaji, membantu urusan ibu bapa di rumah, atau sumbangan dan bantuan tertentu yang dibuat oleh anak-anak.

    Setiap kali mereka berjaya melakukannya ganjaran diberi dengan ruang masa tertentu untuk menggunakan gajet.

    Begitu juga sebagai hukuman iaitu apabila anak-anak ada melakukan sebarang kesilapan tertentu atau kegagalan melakukan sesuatu yang ditetapkan ibu bapa, maka mereka dilarang menggunakan gajet untuk tempoh masa tertentu. Ini akan mendidik mereka supaya tidak melakukan kesilapan yang sama. 

     parafrasa

     

  4. Ada yang mengamalkan gajet yang tidak dicas baterinya sehingga penuh sebagai kaedah untuk mengehadkan penggunaannya oleh anak-anak. Ini sedikit sebanyak membantu mengehadkan tempoh penggunaan gajet oleh mereka. 
     

  5. Pastikan ibu bapa mempunyai dan mengaktifkan kod kata kunci untuk gajet mereka yang dirahsiakan daripada anak-anak. Ia sangat membantu dari segi kawalan kerana anak-anak terpaksa mendapatkan bantuan ibu bapa untuk mengaktifkan kod kata kunci gajet tersebut. 
     

  6. Cari alternatif lain untuk mengisi masa lapang anak-anak. Ibu bapa harus bijak mengatur aktiviti-aktiviti yang boleh menghilangkan kebergantungan anak-anak kepada gajet.

    Misalnya aktiviti santai sekeluarga bermain catur, mengemas rumah, berkebun, bermain permainan minda, aktiviti keagamaan dan seumpamanya. – DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor merupakan Ketua Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.