Mengekang cacar monyet daripada merebak di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mengekang cacar monyet daripada merebak di Malaysia

Oleh Amni Nabihah Abdul Malik

PENULARAN penyakit cacar monyet yang telah menyerang hampir 15 negara menimbulkan kerisauan dan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia. Cacar monyet atau ‘monkeypox’ merupakan sejenis penyakit dari haiwan.

 

Sebenarnya penyakit berjangkit ini bukanlah penyakit yang baru sebaliknya penyakit cacar monyet ini sangatlah jarang berlaku. Wabak ‘monkeypox’ pertama kali ditemukan di Denmark pada tahun 1958.

 

Secara umumnya, penyakit ini menyerupai penyakit cacar ‘smallpox’ iaitu demam dan ruam kulit yang melepuh menjadi kering. Walau bagaimanapun, simptom cacar monyet ini diiringi dengan pembengkakan pada kelenjar getah bening di ketiak.

 

Penyakit ini disifatkan sebagai zoonosis yang diperantarai oleh haiwan, dan monyet adalah punca utama bagi penyakit cacar monyet ini. Virus ini juga termasuk dalam kumpulan keluarga Orthopoxvirus. Selain monyet dan kera, tikus gambia dan tupai juga antara spesies haiwan yang boleh menjadi media penyebaran bagi virus ‘monkeypox’ ini.

 

Berikutan dengan komplikasi akibat jangkitan ‘monkeypox’, kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak lebih tinggi di mana kadar kematiannya boleh membawa sehingga enam peratus berbanding kadar kematian orang dewasa yang lebih rendah bagi wabak ini.

 

Secara lazimnya, jangkitan cacar monyet ini akan sembuh dengan sendirinya dan gejala yang teruk biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, jangkitan ini berkait dengan tahap pendedahan kepada virus dan status kesihatan pesakit.

 

CDC (Centers for Disease Control and Prevention) Atlanta melaporkan bahawa wabak cacar monyet boleh dikawal dengan vaksin cacar (smallpox) iaitu vaksin yang telah dibasmikan pada tahun 1980 berikutan program imunisasi cacar yang berjaya di seluruh dunia.

 

Percikan air liur (droplet) yang dikeluarkan ketika batuk dan bersin secara langsung dari individu yang terinfeksi akan menyebabkan virus cacar monyet ini menular dengan lebih cepat. Kulit yang mengalami luka dan terdedah juga boleh menjadikan virus ini berkembang.

 

Neil Mabbot, seorang profesor di Scotland memberitahu, “Apabila lepuh sembuh, kudis yang berkemungkinan membawa virus ini boleh berubah menjadi habuk yang boleh dihidu”.


 

Neil Mabbot
                      Neil Mabbot

 

 

CDC turut menjelaskan antara gejala awal ‘monkeypox’ adalah selesema, demam, menggigil, keletihan, sakit kepala, lemah otot,  bengkak pada nodus limfa dan tempoh inkubasinya antara tujuh hingga 14 hari.

 

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa Malaysia masih bebas dari penyakit cacar monyet yang sedang melanda dunia saat ini.

 

Kerajaan juga telah menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan ‘monkeypox’ ke Malaysia.

 

Objektif umum strategi menangani cacar monyet di Malaysia adalah untuk mencegah kemasukan dan penularan jangkitan ‘monkeypox’ di Malaysia.

 

“Kita bersedia jika virus cacar monyet ini menular dalam negara” kata Menteri Kesihatan dalam sidang media secara maya dari Geneva, Switzerland baru-baru ini.

 

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan berkata bahawa kerajaan telah mengetatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara terutama bagi pengembara dari negara yang mempunyai kes penyakit cacar monyet.

 

 

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
                                  Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

 

 

Sebelum ini, tular dalam media sosial kes yang membabitkan seorang kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet susulan daripada gambar pada bahagian tangan kanak-kanak tersebut seakan-akan penyakit cacar monyet.

 

Bagaimanapun setelah diteliti, sebenarnya kanak-kanak tersebut dijangkiti penyakit HFMD iaitu virus jenis Coxsackie A6 (penyakit kaki dan mulut).

 

 

hfmd

 

 

Setelah pemeriksaan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut menghidap penyakit HFMD.

 

Pengesahan tersebut dibuat melalui hasil ujian sampel. Ujian sampel tersebut diuji di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan. Terkini, kanak-kanak itu dipantau di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan.

 

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan tidak menerima sebarang notifikasi berhubung jangkitan cacar monyet di negara ini.

 

Orang ramai diingatkan juga agar tidak menularkan dan menguar-uarkan berita yang tidak diketahui kesahihannya.

 

Rakyat Malaysia dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan memaklumkan dengan segera kepada pihak Kementerian Kesihatan sekiranya mengalami gejala penyakit tersebut.

 

Seterusnya penerapan gaya hidup yang bersih juga dapat mencegah wabak ini daripada terus merebak. - DagangNews.com

 

 

Amni Nabihah Binti Abdul Malik adalah pelajar tahun 2 dari Program Pengajian Sarjana Komunikasi Media Baharu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)