Menilai prestasi 100 hari pentadbiran Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 15 December 2021

MENILAI PRESTASI 100 HARI PENTADBIRAN ISMAIL SABRI 

 

 

KETIKA mula dilantik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah menetapkan gagasan konsep `Keluarga Malaysia' bagi semua rakyat menghayati corak kepimpinan beliau.

 

Ismail Sabri telah menetapkan sasaran 100 hari pentadbiran beliau dan kerajaan pimpinannya dengan 140 sasaran yang melibatkan 31 menteri daripada lima Kluster iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

 

Penilaian 360 darjah

Ismail Sabri mahukan setiap kementerian diukur berdasarkan 50% perkhidmatan teras kementerian, penilaian prestasi menteri sebanyak 25% dan persepsi awam atau rakyat sebanyak 25% terhadap menteri dan kementerian.

 

Beliau telah mengarahkan semua Menteri untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

Ini adalah tindakan baharu dalam kerajaan. Kerajaan sebelum-sebelum ini tidak pernah memberi ruang penilaian secara terbuka seperti ini.

 

Penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian prestasi kerajaan dan ianya satu sejarah baharu buat negara.

 

Tahniah diucapkan kepada Ismail Sabri yang berani dan telus dalam penilaian prestasi kerajaan umumnya dan kementerian dan Menteri khususnya.


 

PM

 


Tumpuan 100 hari pertama

Ismail Sabri perlu mendapatkan kepercayaan rakyat untuk 100 hari pertama pentadbirannya. Pelantikan beliau setelah tumbangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan UMNO berpaling tadah, memerlukan Ismail Sabri membuktikan dirinya adalah orang yang layak mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

 

Selain itu, kerajaan yang dibentuk oleh Ismail Sabri juga kekal “goyah” dengan gabungan beberapa parti yang membentuk kerajaan.

 

Inilah cabaran beliau sebenarnya. Namun begitu, Ismail Sabri “jalan terus” dengan menyasarkan strategi untuk kerajaan memberi tumpuan kepada 6 teras utama dalam tempoh 100 hari pentadbirannya. Sasarannya ialah:

  1. Menstruktur semula ekonomi
  2. Menjamin keselamatan dan ketenteraman negara
  3. Meningkatkan kesejahteraan sosial
  4. Mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh
  5. Memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia
  6. Memperkasakan penyampaian perkhidmatan

 

Jom Kita Nilai Prestasi Ismail Sabri dan Kerajaan

Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (Mampu) telah dipertanggungjawabkan untuk menilai pencapaian jemaah menteri dan kementerian.

 

Daripada 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik jemaah menteri dan kementerian,  pencapaian keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90%.

 

Adakah nilai dan angka ini baik atau tidak?

Walaupun ia tidak mencapai sasaran 100%, ia dianggap sesuatu yang baik dalam penilaian 100 hari ini. Jika peperiksaan dapat A+ ni.

 

Banyak usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menjaga kepentingan, kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pandemik dan endemik ini.


 

PM

 


Kejayaan Pelan Imunisasi Kebangsaan

Kerajaan telah berjaya melaksanakan Pelan Imunisasi Kebangsaan dengan baik. Dek kerana kejayaan pelan inilah, rakyat Malaysia boleh “hidup seperti biasa”. Walaupun virus ini masih ada dan pematuhan standard of procedure (SOP) masih perlu dijaga.

 

Namun sedikit sebanyak rakyat menarik nafas lega apabila boleh keluar mencari rezeki seperti biasa walaupun ekonomi masih dalam proses pemulihan.

 

Sehingga kini, seramai 22,417,059 individu atau 95.8% daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

 

Selain itu, kerajaan menerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja

(CITF-A) bertindak agresif dan sehingga kini hampir 80% remaja di Malaysia telah menerima suntikan vaksin.

 

Malaysia menjadi negara paling cepat di dunia dalam pemberian vaksin kepada remaja. Tahniah kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

 

Ini bukti kerajaan terus cuba melindungi keselamatan rakyat tidak kira dewasa mahupun remaja dari virus ini.


 

PM

 


Berjaya Stabilkan Ledakan Politik

Ismail Sabri juga berjaya menstabilkan ledakan politik negara tatkala negara tengah genting dengan COVID-19 dengan “berjaya memujuk” pembangkang untuk bersetuju dan bersepakat untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

 

Pastinya hal ini membawa suhu politik Malaysia kepada keadaan yang stabil dan lebih tenang.

 

RMke-12 dan Bajet 2022 asas keyakinan rakyat pada Ismail Sabri

Dari segi perancangan untuk proses pemulihan negara bagi pembangunan ekonomi pula, RMke-12 dan Bajet 2022 menjadi asas yang kukuh keyakinan rakyat kepada kepimpinan Ismail Sabri.

 

RMK-12 yang dibentangkan oleh Ismail Sabri yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan' bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara dengan peruntukkan sebanyak RM400 bilion ini membuatkan rakyat yakin dengan hala tuju kerajaan dalam usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi dan memastikan kemakmuran negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

 

Selain itu, Bajet 2022 yang menjadi sejarah negara menjadi bajet terbesar sebanyak RM332.1 bilion dengan matlamat rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan menambahkan keyakinan rakyat dalam usaha Ismail Sabri dan kerajaan memulihkan negara dan membantu kelangsungan hidup rakyat.


 

PM

 


Keyakinan Pelabur Asing

Pelaburan asing juga semakin “percaya” kepada Malaysia. Sebelum ini, banyak pelabur asing “angkat kaki” ke Indonesia dan negara ASEAN yang lain, kini Malaysia berjaya menarik semula keyakinan pelabur asing.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan sebanyak RM109.1 bilion dalam tempoh 100 pentadbiran bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.

 

Selain itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah meningkatkan eksport sektor agrokomoditi dengan nilai eksport RM147.2 bilion yang meningkatkan sumbangan kepada pendapatan rakyat dan negara.

 

Usaha yang giat ini telah dilakukan oleh kerajaan menerusi MITI bagi meningkatkan pelaburan asing dengan memacukan pertumbuhan ekonomi melalui program galakan pelaburan yang strategik.

 

Inisiatif yang telah dilakukan kerajaan ini akan memberikan manfaat kepada 189,000 majikan dan 1.9 juta pekerja di Malaysia.


 

PM

 


Komitmen Kerajaan Untuk Bumiputera

Kerajaan terus meletakkan agenda utama bagi memperkasakan bumiputera. Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 dibentuk bagi memperkasakan golongan ini.

 

TPB 2020 akan menjadi mekanisme yang berperanan bagi memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.

 

Ismail Sabri telah menggariskan strategi yang jelas dalam TPB2030 melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

 

TPB2020 yang lebih berstruktur dan inklusif melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan bagi membantu bumiputera.

 

Pemerkasaan PMKS

Terbaharu, dalam ucapan sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, Ismail Sabri sekali lagi dianggap “hero” apabila menggariskan dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pasca pandemik COVID-19.

 

PMKS akan mendapat manfaat daripada inovasi, pendigitalan serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

 

Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik  akan terus diperkasa.

 

Kerajaan akan terus membantu untuk membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0. Kerajaan melihat perlunya usaha memperkasakan PMKS ini kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3% yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-COVID) kepada 75.8% pada tahun 2021 pasca COVID-19.


 

PM

 


Jangan Mendabik Dada

Secara tuntasnya, prestasi kerajaan dan Ismail Sabri boleh dikatakan baik dalam 100 hari ini. Namun begitu, kerajaan tidak boleh terlalu selesa atau mendabik dada.

 

Sesetengah prestasi tidak boleh dinilai pada jangka masa pendek dan perlu dinilai dalam tempoh yang lebih lama.

 

Ismail Sabri dan kerajaan perlu terus komited untuk memimpin dan mentadbir negara dengan kesungguhan dan iltizam memulihkan negara demi rakyat! Ini akan menjadi penanda aras pentadbiran Ismail Sabri, menjelang pilihan raya umum ke-15 tahun hadapan.

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags