Menteri Sumber Manusia ke Indonesia muktamadkan MoU PDI | DagangNews Skip to main content

Menteri Sumber Manusia ke Indonesia muktamadkan MoU PDI

PUTRAJAYA 4 Dis - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan mengadakan satu lawatan kerja ke Indonesia dari 5 hingga 7 Disember 2021.

 

Lawatan kerja ini akan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia.

 

Lawatan kerja ini adalah susulan daripada lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu dari 9 hingga 12 November 2021.

 

Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri menerusi sidang media bersama dengan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo telah menyatakan komitmen untuk menyegerakan pemeteraian Memorandum Persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) bagi menampung keperluan dan permintaan daripada majikan di Malaysia.

 

Menteri Sumber Manusia dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Ida Fauziyah, Menteri Ketenagakerjaan Indonesia bagi mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak mengenai isu-isu yang terkandung di dalam MoU PDI supaya ia dapat dimuktamadkan dengan kadar segera.

 

Menteri Sumber Manusia juga dijangka mengadakan satu perbincangan bersama dengan konglomerat Malaysia di Indonesia bagi mebertukar pandangan serta amalan baik berhubung pengurusan pekerja migran di sektor perladangan.


 

Datuk Seri M. Saravanan
                        Datuk Seri M. Saravanan

 


Sehingga 31 Oktober 2021, terdapat seramai 364,564 pekerja asing warga negara Indonesia yang bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing serta perlombongan dan perkuarian.

 

Daripada jumlah ini, seramai 61,473 (16.9%) pekerja adalah di dalam sektor pembantu rumah asing. - DagangNews.com