Skip to main content

Menyusun langkah untuk kembali ke kelas fizikal

Oleh Dr. HAZEL MELANIE RAMOS

 

 

PANDEMIK yang melanda ternyata telah menimbulkan kesan ketara kepada pengalaman pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dan di serata dunia, sekali gus mendorong semua yang terlibat dalam industri akademik untuk beralih kepada perkongsian dan penyampaian ilmu jarak jauh sambil menyahut pelbagai cabaran baharu yang timbul daripadanya.

 

Pada hakikatnya, bilik darjah atau dewan kuliah masih relevan sebagai ruang yang boleh memupuk pembangunan diri, meluaskan pemikiran dan membina persahabatan.

 

Sambil kita kembali ke kelas fizikal secara berperingkat, kita perlu mengetahui apa yang diperlukan dan cara menyesuaikan diri dengan rutin baharu demi kesejahteraan mental dan fizikal pelajar pendidik dan juga barisan kakitangan pentadbiran.

 

Kajian menunjukkan bahawa para pelajar mengalami cabaran kesihatan mental semasa pandemik kerana rasa terpisah dari segi sosial dan menghadapi tekanan tambahan untuk mengejar kecemerlangan.

 

Hasil tinjau selidik Relate Malaysia menunjukkan bahawa golongan belia Malaysia melaporkan tahap keresahan (48%) dan kemurungan (45%) yang tinggi pada awal pandemik.

 

Tempoh dua tahun lepas ternyata sungguh mencabar bagi para pelajar, dan saya berharap dengan peralihan kepada penggabungan pembelajaran dalam talian dan bersemuka, kita akan dapat mengurangkan tekanan bukan sahaja bagi pelajar tetapi juga tenaga profesional dalam bidang akademik serta ibu bapa yang turut merasai tempiasnya.

 

PM

 

 

Meluangkan masa untuk diri sendiri sambil kembali bekerja dan bersosial secara selamat

Kembali kepada pembelajaran menerusi kelas fizikal mungkin menimbulkan cabaran, lebih-lebih lagi kerana kita kini perlu menyesuaikan diri semula dengan rutin baharu.

 

Mereka yang akan kembali ke kelas atau pejabat fizikal perlu membuat persiapan dan merancang hari mereka dengan baik.

 

Antara penyesuaian yang perlu dibuat ialah bangun awal, menggayakan pakaian sesuai dan berulang alik ke kelas atau tempat kerja. Perancangan ini membolehkan mereka meluangkan masa untuk rakan-rakan, keluarga dan paling penting, diri sendiri.

 

Menetapkan semula batasan

Amalan bekerja atau belajar dari rumah juga bermakna kita sudah tidak lagi ada batasan ruang dan masa yang membezakan antara pekerjaan dan pengajian dengan rehat dan riadah.

 

Kita mendapati kita bekerja untuk tempoh yang lebih lama, kadangkala lebih daripada apa yang mampu diterima oleh badan kita.

 

Tidur malam yang nyenyak, senaman dan bersosial dengan penjarakan yang bertanggungjawab sesungguhnya penting dalam rutin baharu ini untuk memupuk minda dan badan yang lebih sihat.

 

PM

 

Menjaga diri sendiri

Bagi pelajar, kecemerlangan akademik menjadi keutamaan, dan kadangkala mereka boleh menjejaskan kesihatan diri dengan meletakkan tekanan terlalu besar terhadap diri sendiri, acap kali ditambah oleh jangkaan ibu bapa atau penjaga yang tinggi.

 

Ini bukan sahaja dilihat di universiti, tetapi juga sekolah rendah dan menengah. Saya percaya ibu bapa perlu lebih prihatin dan bijaksana dalam soal prestasi akademik, kerana dalam keadaan paling serius, ia mungkin menggugat kesejahteraan mental anak-anak mereka.

 

Berdaya kreatif dan bertimbang rasa terhadap satu sama lain

Bagi para pendidik, mungkin sukar untuk belajar dan menerapkan teknologi atau alat baharu ke dalam pelan pengajaran.

 

Hakikatnya guru-guru yang cemerlang tidak memerlukan teknologi canggih untuk menyampaikan ilmu dengan cara yang berkualiti.

 

PM

 

Pendidik yang cemerlang akan berusaha berhubung dengan pelajar, termasuk memantau kesejahteraan mental dan emosi pelajar, walaupun di luar kelas.

 

Dalam pada Malaysia menggiatkan semula aktiviti sosial dan ekonomi, kita seharusnya mengambil langkah proaktif untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan diri.

 

Ini bermakna para pelajar, pendidik dan semua kakitangan pentadbiran yang kembali ke sekolah dan universiti mestilah rajin mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka pada setiap masa dan menggalakkan amalan menjaga kebersihan diri.

 

Dalam pada itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan lebih cakna akan kepentingan kesejahteraan mental, dengan bersikap ambil peduli dan prihatin terhadap satu sama lain dan menjaga diri sendiri sambil kita meniti kehidupan dalam normal baharu ini. – DagangNews.com

 

Dr. Hazel Melanie Ramos adalah Naib Provos Pengajaran dan Pembelajaran, dan Profesor Madya Psikologi Perindustrian/Organisasi di University of Nottingham Malaysia (UNM)