Merapatkan jurang digital di kawasan pedalaman | DagangNews Skip to main content

Merapatkan jurang digital di kawasan pedalaman

 

Rosliza dan suaminya berjaya mentransformasi syarikat perusahaan loyang mereka dengan mengunakan lawan web e-dagang.

 

 

 

Oleh DATUK TS HASNUL FADHLY HASAN

 


Menjalani kehidupan di kampung  dengan mengambil ratusan tempahan daripada pelanggan di malam hari, kehidupan Rosliza Osman berubah secara ketara pada tahun lalu.

 

Rosliza merupakan bekas pembantu tadbir yang terpaksa meninggalkan pekerjaannya demi menjaga 2 orang anak autistiknya yang masih kecil. 

 

Selain sebagai seorang ibu yang penyayang, beliau juga menjadi tulang belakang kepada perniagaan keluarganya di kawasan pedalaman di Jasin, Melaka.

 

Azizjaafar Loyang, merupakan syarikat pembuatan loyang berskala kecil yang mula beroperasi sejak tahun 2000. 

 

Malah, Rosliza begitu teruja untuk meningkatkan perniagaan keluarganya dengan membawa perniagaan mereka ke dalam talian dan meneroka laman web e-dagang sebagai kaedah baharu untuk meningkatkan jualannya. 

 

Namun begitu, beliau kurang pengetahuan dan latihan untuk membawa impiannya ke tahap yang lebih tinggi.

 

Sehubungan itu, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Rosliza mengambil langkah dengan menjadi salah seorang peserta daripada kumpulan pertama yang mengikuti Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital MYNIC. 

 

Program ini membolehkan beliau mempelajari bagaimana untuk membangunkan laman web yang meningkatkan kewujudan perniagaan, peluang pasaran dan akhir sekali maksimumkan penjualan. 

 

Melalui pembelajaran daripada pihak MYNIC, beliau berjaya menarik minat pelanggan untuk ke laman webnya melalui  pengoptimunan carian enjin (SEO) dan pelbagai teknik pemasaran dalam talian.

 

Beberapa bulan kemudian, pendapatan jualan Rosliza meningkat 150% di mana beliau berjaya memperolehi RM10,000 sebulan berbanding RM4,000 sebelumnya sejak beralih ke perniagaan dalam talian. 

 

Menurut Rosliza, musim perayaan adalah waktu paling sibuk sepanjang tahun dalam perniagaanya, di mana hasil jualannya mampu mencapai RM50,000 sebulan dan mendapat tempahan daripada para pelanggan antarabangsa seperti Brunei, Singapura, Mesir, dan Australia. 

 

Perkara ini tidak mungkin berlaku sekiranya beliau tidak mula membangunkan laman web perniagaanya. 

 

Melalui keuntungan yang diperolehi sepanjang perniagaanya, Rosliza dan suaminya mampu meningkatkan perniagaan mereka serta dapat memenuhi permintaan pasaran baru. 

 

Ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, berlakunya peningkatan jualan melalui dalam talian dan ia membuatkan Rosliza sibuk dari kebiasaaanya bagi menyiapkan tempahan pelanggan. 

 

 

Internet adalah keutamaan  

 

Namun, perjalanan perniagaan Rosliza tidak semudah yang disangka. Menceritakan pengalaman awal ketika mula menceburi perniagaan dalam talian, Rosliza berdepan dengan masalah sambungan internet yang perlahan dan mengalami kesukaran untuk memuat naik isi kandungan di sosial medianya.

 

Cabaran yang dihadapi oleh Rosliza bukan sesuatu yang luar biasa. Ini membuktikan betapa penting untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar.

 

Kerajaan menyedari keperluan ini dan telah memastikan sektor telekomunikasi, termasuk internet, diiktiraf sebagai utiliti awam ketiga di Malaysia selain kemudahan air dan elektrik.

 

Kini, kelajuan internet di Jasin serta beberapa kawasan luar bandar di Malaysia telah mula mengalami pencapaian yang lebih baik. 

 

Kita seharusnya berterima kasih atas hasil usaha kerajaan dalam memastikan capaian internet yang lebih baik di Malaysia, seiring komitmen kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi negara ekonomi digital. 

 

Perkembangan dan kestabilan perniagaan Rosliza menunjukkan bahawa dengan memiliki pengetahuan yang baik dan sumber secukupnya mampu membantu perniagaan.  

 

Inilah sebabnya mengapa kita perlu memastikan bandar-bandar kecil tidak terkecuali menerima manfaat daripada kemajuan digital Malaysia.

 

Datuk Ts. Hasnul menyerahkan trofi MYNIC Digital Award 2019 kepada Rosliza atas pencapaianya dalam Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital.
Datuk Ts. Hasnul menyerahkan Anugerah Digital MYNIC 2019 kepada Rosliza atas pencapaianya dalam Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital

 

 

Pelaburan usahawan luar bandar

 


Melalui tinjauan saya ke beberapa kawasan luar bandar di Malaysia, saya telah berjumpa dengan ramai usahawan seperti Rosliza yang mempunyai semangat yang tinggi serta bercita-cita besar dan sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada penggerak dalam perjalanan ekonomi digital di Malaysia. 

 

Jelas ini menunjukkan, terdapat keperluan yang tinggi untuk melabur bagi membolehkan usahawan di kawasan luar bandar berhubung serta meneroka peluang yang berpotensi untuk membawa lebih banyak golongan profesional daripada luar bandar daripada sektor pertanian, perikanan, dan kraftangan tradisional untuk ke dalam talian.

 

MYNIC sentiasa komited untuk melatih usahawan luar bandar seperti Rosliza untuk membantu membuka perniagaan dalam talian. 

 

Dengan latihan yang diberikan, mereka akan memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk menjadi lebih kompetitif bagi memacu transformasi digital di kawasan luar bandar.

 

Kami turut terlibat dengan melatih usahawan kecil dan sederhana daripada beberapa buah negeri untuk mentransformasikan perniagaan ke dalam talian dengan menggunakan laman web dan kaedah-kaedah yang dapat membantu untuk lebih memahami trend terkini sekaligus mengetengahkan perniagaan mereka ke dalam dan luar negara.

 

Mengambil contoh kejayaan Rosliza, faktor kemajuan internet dan latihan yang disediakan kepada beliau adalah sesuatu yang tepat pada masanya. 

 

Saya berharap, kejayaan Rosliza mampu menarik lebih ramai usahawan luar bandar untuk membawa perniagaan mereka ke dalam talian  agar mampu meningkatkan taraf hidup serta ekonomi ke tahap yang lebih tinggi. 

 

Akhir sekali, inilah yang sebenarnya kita ingini di mana kita mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi digital yang terkemuka di dunia. - DagangNews.com

 

PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC

 

randau