Meraque lancar RACE, Kenderaan Darat Autonomi pertanian pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Meraque lancar RACE, Kenderaan Darat Autonomi pertanian pertama di Malaysia

Md Razalee Ismail (dua dari kiri) dan Datuk Zuraida Kamaruddin (lima dari kanan) ketika pelancaran Kenderaan Darat Autonomi Malaysia di MiACES 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) melancarkan Kenderaan Darat Autonomi Malaysia (AGV) pertama di negara ini yang dinamakan RACE iaitu singkatan kepada 'Robotic Agro in Complex Environment.'

 

Meraque yang dipilih sebagai syarikat pembekal perkhidmatan dron ke-19 terbaik dunia oleh Drone Industry Insights pada 2020 itu telah membangunkan RACE dengan tujuan mengurangkan kebergantungan tenaga kerja dan meningkatkan konsistensi kerja-kerja penyemburan baja di ladang kelapa sawit.

 

Dengan menggunakan modul pengkomputeran berkuasa tinggi dalam sistem pemprosesan atau 'otak'nya,  RACE dapat bergerak sendiri tanpa kawalan dengan melalui pokok-pokok, menganalisis persekitaran untuk membuat keputusan, mencari arah serta menetapkan sempadan pergerakan menggunakan titik lokasi ketepatan tinggi.

 

Pelancaran kenderaan robotik itu dilakukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, pada hari ketiga Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, baru-baru ini.

 

Zuraida berkata, inovasi baharu seperti RACE ciptaan Meraque akan membantu mempercepatkan usaha Malaysia untuk berada di peta komoditi pertanian dunia dan seterusnya mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai pengeluar utama produk agro komoditi di peringkat antarabangsa. 

 

"Ini adalah bukti bahawa syarikat tempatan mampu menghasilkan produk atau penyelesaian bertaraf dunia yang mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah atau cabaran yang dihadapi dalam industri pertanian global pada masa kini.

 

“Saya mengucapkan tahniah atas perkembangan terbaharu mereka. Meraque sedang membantu meletakkan asas masa depan industri agro komoditi Malaysia, dan saya teruja untuk melihat bagaimana mereka akan terus membantu untuk melengkapkan industri. 

 

 

meraque

 

 

"Saya berharap lebih banyak syarikat mengikuti jejak mereka dan mencontohi dorongan syarikat tersebut untuk mencipta penyelesaian yang berani dan inovatif bagi mengubah landskap industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

RACE dengan kapasiti beban 150L (150kg) merupakan prototaip berskala kecil yang sesuai untuk kegunaan kerja-kerja penyemburan sebaris, sebaliknya prototaip berskala penuh dengan kapasiti beban lebih 500L pula sesuai untuk melakukan aktiviti penyemburan sebaris dan juga pembajaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, Meraque bukan sahaja akan berusaha menyediakan teknologi pertanian masa depan untuk negara ini tetapi tetapi juga kegunaan pengguna seluruh dunia melalui inovasi Buatan Malaysia.

 

“Dengan AGV perladangan Meraque yang dibina dengan memasukkan fungsi robotik pertanian dengan kecerdasan buatan, kami berharap dapat membina hari esok yang lebih baik untuk sektor pertanian.

 

"Membantu lebih banyak sektor perladangan meningkatkan kecekapan, menstabilkan hasil, mengawal kos dan kekurangan tenaga kerja, mengurangkan kesan akibat cuaca yang berubah, meningkatkan pengeluaran dan memaksimumkan keuntungan yang semuanya dilaksanakan dengan amalan yang mampan,” katanya. - DagangNews.com