Merchantrade miliki 100% ekuiti di dalam Valyou daripada Telenor Group Norway | DagangNews Skip to main content

Merchantrade miliki 100% ekuiti di dalam Valyou daripada Telenor Group Norway

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), pengendali perniagaan perkhidmatan wang digital utama di negara ini dan penerbit e-money, berjaya memuktamadkan pengambilalihan 100% pegangan dalam Valyou Sdn Bhd (Valyou), daripada Telenor Group Norway susulan langkah pembidaan yang kompetitif. Merchantrade juga memperoleh kelulusan regulatori susulan pemerolehan itu.

Valyou adalah pemain teknologi kewangan (fintech) dan penyedia perkhidmatan kiriman wang digital rentas sempadan utama yang berkembang pantas di Malaysia. Valyou juga menerbitkan e-money dengan asas pelanggan lebih 1 juta menerusi dalam talian dan saluran digital berasaskan aplikasi dan rangkaian fizikal meliputi 22 cawangan, 20 ejen dan 1,200 peniaga tunai-masuk tunai-keluar (CICO).

Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, susulan penyelesaian pengambilalihan ini, perniagaan, operasi dan kakitangan Valyou akan digabungkan dengan Merchantrade dan beroperasi dalam satu entiti menjelang akhir 2020.

 

aa
Ramasamy K Veeran


Gabungan kedua-dua pemain utama fintech yang memiliki kelebihan dan kekuatan masing-masing dalam perkhidmatan e-dompet, Merchantrade dengan Merchantrade Money, (kad-berasaskan e-dompet dengan kad pra bayar VISA) dan e-dompet Valyou yang berasaskan aplikasi penuh akan membawa perubahan besar dalam ruang digital tempatan dengan perancangan untuk memacu dan melancar serta menyediakan akses mudah bagi produk kewangan inovatif yang selamat kepada pekerja asing, ekspatariat, pengembara tempatan dan pembeli dalam talian yang celik teknologi.

Bersama dengan gabungan kakitangan lebih daripada 1,200 orang dan rangkaian melebihi 1,700 titik interaksi yang meliputi cawangan, lokasi ejen dan peniaga CICO, pemerolehan ini menggerakkan Merchantrade sebagai pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan terbesar di Malaysia, kepada lebih tiga juta pelanggan.

Hasil pengambilalihan ini menjadikan Merchantrade memiliki nilai perolehan gabungan kiriman wang tahunan (berasaskan angka kiriman wang pada 2019) lebih daripada RM11 bilion (termasuk transaksi kiriman keluar negara dan transaksi pengagregat antarabangsa) akan membawa pertumbuhan yang pesat kepada perniagaan digital Merchantrade, khususnya Merchantrade Money.

Beliau menambah pengambilalihan itu juga akan menyatu dan melonjakkan secara signifikan penguasaan Merchantrade ke atas pelanggan pekerja asing yang merupakan pengguna utama perkhidmatan kiriman wang rentas sempadan.

“Untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada segmen pekerja asing secara efektif, kami membina satu eko sistem yang relevan menerusi perkongsian dan kerjasama industri.

"K
etika ini kami bekerja dengan AXA dan MCIS untuk menyediakan produk mikro-insurans yang mampu milik. Pengambilalihan Valyou akan mengukuh dan mengembangkan saluran digital kami dan secara langsung memberi peluang baru yang lebih banyak terhadap rakan kongsi kepada penyedia perkhidmatan kewangan dan menetapkan satu aras baru untuk terus berkembang ke serantau,” katanya lagi.

Selari dengan aspirasi Syarikat untuk menjadi pemain serantau, pada Julai lalu, Merchantrade terus melonjakkan kedudukannya dalam pasaran kiriman wang rentas sempadan dengan menambah pengambilalihan sebanyak 21 peratus kepentingan dalam KLIQ Pte Ltd (KLIQ) -  penyedia perkhidmatan kiriman wang rentas sempadan digital sepenuhnya di Singapura, menjadikan KLIQ sebagai 70% anak syarikatnya.

“Melihat kepada pencapaian terdahulu dan dengan gabungan bakat susulan daripada pemerolehan Valyou, saya berkeyakinan penuh kami akan mempunyai kakitangan, sumber dan keupayaan untuk mengembangkan rangkaian dan perniagaan di Malaysia dan serantau. Saya sangat teruja dan optimistic dengan apa yang bakal kami hadapi di masa hadapan,” kata Ramasamy.

Merchantrade beroperasi di 81 cawangan pusat perkhidmatan wang runcit di pusat beli-belah utama, antaranya di Pavilion KL, KLCC dan KL Sentral yang menawarkan mata wang runcit, pengiriman wang dan Merchantrade Money. - DagangNews.com