Skip to main content
Kolum WAINUIOMATA - 14 October 2021

Mesyuarat Lembaga Pengarah Dutel tanya krisis Mahathir-Anwar

 

SIBUK dengan dua tugas berlainan, memerlukan konsentrasi dan pemahaman. Dua tugas, sebagai COO Dutel dan Pengurus Besar Mountain of Light, syarikat Yusuf Islam di luar bidang saya teknologi maklumat dan statistik. Waktu pagi dan petang di dua tempat kerja berlainan hingga ke malam.

 

Saya pernah dahulu menjadi setiausaha ke pada Hamed Kazim yang menjadi CEO Dubai Internet City. Siapa sangka seorang pengurus kanan projek untuk teknologi maklumat akan menjadi setiausaha.

 

Sebenarnya sebagai setiausaha banyak mengajar saya untuk berurusan dengan VIP yang mahu menghubungi Hamed Kazim. Banyak berkenalan dengan orang-orang terkenal termasuk ahli perniagaan dan ahli korporat di Dubai.

 

Tugas sebagai setiausaha juga yang bermula pukul 6 pagi sehingga 9 malam waktu isyak bagai mengajar saya untuk bekerja di dua tempat berlainan dari awal pagi ke larut malam.

 

Di dua ofis untuk bekerja menjadikan telefon sentiasa berdering untuk orang menghubungi. Saya tidak menjawab semuanya kerana kesibukan bertemu orang. Hanya menjawab melalui SMS kalau perlu.

 

Selain menulis untuk catatan seharian yang saya lakukan dan rekod. Pada waktu itu saya adalah penulis yang agak terkenal di Malaysia dengan cerpen, puisi dan artikel.

 

Oleh kerana kerja saya jarang menulis hanya seminggu sekali atau dua tiga kali untuk laman. Pada masa itu mana ada lagi media sosial.

 

 

dutel
KAKITANGAN Dutel menaikkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan UAE pada 3 November setiap tahun. - Gambar FB Dutel

 

 

Nasiblah famili dijaga oleh isteri saya, seorang doktor perubatan yang tidak bekerja untuk menjaga anak-anak. Dr Azma menguruskan segalanya dan saya menyerahkan kepada beliau untuk memastikan rumah kami seperti biasa.

 

Anak pertama dan kedua bersekolah dan yang ketiga masih kecil dalam usia tiga tahun sepenuh masa di rumah. Kecuali semasa ibunya, Dr Azma pergi untuk naik haji pada tahun 2001 sewaktu bekerja dengan Dubai Internet City.

 

Sayalah menjaga ketiga-tiga anak dibantu oleh ibu dan seorang anak saudara perempuan yang datang ke Dubai. Itu adalah pengalaman bermakna untuk dua bulan.

 

Anak-anak cukup cepat mengadaptasi dengan Dubai dengan persekolahan. Mereka sentiasa cepat mempelajari dan saya tidak punya masa untuk merujuk, lantas diserahkan pada mereka sendiri, waktu di darjah 4 dan darjah 3.

 

Dubai pada waktu tiada ramai ekspatriat dari Malaysia dan saya boleh kenal hampir kesemua sekali. Kami selalu bertemu di hari Jumaat dan Sabtu untuk bermesraan. Sama ada pergi ke rumah atau bertemu di taman-taman.

 

Saya juga berkenalan dengan jiran-jiran yang kebetulan orang Arab dan orang putih. Di apartmen yang kami duduk hanya kira-kira 10 orang dari 30 rumah kerana tiada jalan di Al Mankhool. Agak jauh walau ditengah kota lama Dubai.

 

 

wainuiomata
Jalan Shaikh Zayed yang menjadi nadi Dubai, Emiriah Arab Bersatu

 

 

Ada seorang Palestin yang berkahwin dengan wanita Britain. Lelaki itu Islam dan isterinya seorang kristian.

 

Saya bertanya, “Bagaimana dengan anak?”
“Itu pilihan dia sendiri bila berusia 18 tahun.”

 

Saya diam memikirkan yang anak-anak adalah amanah yang perlu kita jaga untuk mentaati Allah. Bagaimana anaknya memilih Kristian? Rasanya anaknya lebih kepada Kristian kerana pergaulan.

 

Banyak lagi dengan rakan-rakan yang lain membuka minda terhadap penjagaan anak-anak. Dengan sikap terbuka rakan-rakan membuatkan saya terasa perlu memasukkan anak-anak ke sekolah berunsur Islam.

 

Sementara itu pejabat Dutel dipenuhi dengan lima orang pengarah yang dipengerusikan oleh Hamed Kazim. Saya dengan Dr Osama hanya bekerja seperti biasa dengan pembantu.

 

Masa itu, Dutel telah beroperasi walau secara rahsia dengan pejabat tiada nama Dutel diletakkan. Dengan misi mahu mencari pendapat awam tentang telekomunikasi di Dubai melalui syarikat-syarikat Zon Bebas terlebih dahulu, dengan jumlah lebih 4,000 buah serta anak-anak syarikat Dubai World.

 

 

Hamed Kazim
Hamed Kazim

 

 

Dr Osama banyak berurusan dengan luar UAE dan selalu ke luar negara. Saya dengan syarikat domestik. Kami sering bertemu tetapi saya tidak mengerti apabila Dr Osama menerangkan urusan kerana berlainan misi.

 

Dr Osama adalah bos yang baik walau memiliki sarjana dan PhD dari sebuah universiti terkemuka Amerika. Dr Osama membiarkan saya dengan cara saya dan hanya memberitahu dia melalui SMS atau telefon.

 

Tiba-tiba Hamed Kazim keluar dari mesyuarat dan memanggil saya masuk.

 

Saya terkejut dan mengikutinya. Pengarah yang lain tersenyum dan kami bersalaman.

 

 

anwar

 

 

“Apa sebab Anwar Ibrahim dipenjarakan?”

 

Saya lagi terkejut dengan soalan itu. Saya sangkakan soalan tentang kerja saya di Dutel dan saya bangga untuk menyatakan kepada pengarah.

 

Saya tersenyum dan menjawab dengan bersemangat. Waktu itu saya masih dengan reformasi dengan menggangap Anwar sebagai hero dan Dr Mahathir sebagai villain. Tahun 2003 saya masih kuat dengan reformasi biar berada jauh di luar negara.

 

Kelima-lima pengarah mendengar cerita saya yang menulis di Harakahdaily dan laman web reformasi. Tulisan-tulisan saya mengenai cerita kehidupan di Dubai bersangkut paut dengan reformasi. Ramai yang mengikuti tulisan saya saban minggu.

 

Ada pertanyaan dari pengarah yang mengikuti politik Malaysia dari dari jauh. Tentang Mahathir dan Anwar tentunya. Saya memberitahu apa yang saya tahu, mungkin silap. (Ada waktu itu saya terlibat dengan kempen Free Anwar dimana nama saya diletakkan oleh Raja Petra).

 

 

fudzail

 

 

Hamed Kazim juga peminat Anwar dan banyak bertanya dari saya tentang Anwar. Antara sebab Hamed mengambil saya bekerja kerana reformasi.

 

Siapa sangka mesyuarat pengarah Dutel turut membicarakan isu Mahathir–Anwar yang mana Anwar masih dipenjara waktu itu.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

 

 

 

 

 

Portfolio Tags