Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor bincang penggunaan teknologi hadapi banjir | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor bincang penggunaan teknologi hadapi banjir

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor (MPTNg) hari ini membincangkan penggunaan teknologi dalam perancangan dan pembinaan infrastruktur untuk menghadapi bencana seperti banjir. 

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan memberikan penekanan penggunaan model lanjutan, ramalan analitik dan simulasi banjir yang menggunapakai analisis data, AI dalam merencanakan dasar mitigasi banjir, bagi negeri Selangor mengkaji dan meramalkan perubahan geografi dengan lebih tepat.

 

Jelasnya, beliau telah meminta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyediakan suatu pangkalan data yang komprehensif mengandungi data-data terkini semasa seperti COVID-19 dan banjir. 

 

"Maklumat ini amat penting untuk digunapakai para pegawai di lokaliti masing-masing dalam menyalurkan apa jua bantuan dengan kadar segera dan tepat kepada golongan sasaran. Pastinya keselamatan serta kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

 

"Memandangkan bencana alam seperti banjir semakin kerap berlaku mutakhir ini dan impaknya yang semakin serius, perlunya kerjasama erat serta perancangan rapi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di segenap peringkat termasuklah di peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya menerusi Facebook.

 

Beliau berkata, selain daripada Pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam, adaptasi teknologi moden dalam projek-projek pembangunan mitigasi banjir adalah amat penting.

 

Dalam pada itu, pembangunan negeri Selangor dan pelaksanaan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) turut dibincangkan dalam MPTNg secara menyeluruh.

 

 

azmin
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

 

 

Beliau berkata, dalam merangka serta melaksanakan projek pembangunan di Selangor seperti yang telah digariskan dalam RMKe-12, sebanyak 432 projek di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) bernilai RM5.94 bilion telah diluluskan di bawah 22 kementerian dalam Rolling Plan Kedua (RP2) bagi tahun 2022.

 

"Saya yakin semua pihak terutamanya Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Selangor, kerajaan negeri, pejabat daerah tanah dan PBT terus bersama-sama menggembleng tenaga dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan bagi mencapai agenda dan matlamat MTPNg," katanya. - DagangNews.com