MetMalaysia keluarkan 6 amaran cuaca signifikan, ada pihak buat tidak endah - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

MetMalaysia keluarkan 6 amaran cuaca signifikan, ada pihak buat tidak endah - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan, yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan, bermula 18 Disember 2021 namun amaran berkenaan tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka membuat andaian hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun.  

 

"Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak," katanya semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya situasi kompleks banjir bandar (urban flooding). 

 

Banjir di Selangor berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan dan keadaan bertambah buruk ekoran kejadian air pasang.

 

Beliau berkata, pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

 

pm

 

"Menyedari situasi banjir yang kritikal di Selangor, pada malam Sabtu 18 Disember 2021 tersebut, saya telah bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim,

 

"Saya telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC," katanya.

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, selepas selesai di NDCC beliau melakukan tinjauan situasi banjir di Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights sehingga lewat malam dan pada keesokan harinya iaitu Ahad 19 Disember 2021 beliau melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang dan PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia. - DagangNews.com