Persatuan Pemfaktor Malaysia peruntuk RM5 bilion pembiayaan pemfaktoran kepada PKS  | DagangNews Skip to main content

Persatuan Pemfaktor Malaysia peruntuk RM5 bilion pembiayaan pemfaktoran kepada PKS 

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Persatuan Pemfaktor Malaysia (MFA) memperuntukkan sehingga RM5 bilion bantuan pembiayaan kewangan pemfaktoran kepada perusahaan, kecil dan sederhana (PKS) untuk tempoh dua tahun akan datang.

 

Pengerusi MFA, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas berkata, untuk itu mereka akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan segmen pemfaktoran terutamanya dalam kalangan PKS.

 

Beliau berkata, mereka juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk terus berkembang dan berevolusi dari masa ke masa.

 

"Institusi kewangan aliran utama negara seperti bank komersial lebih berhati-hati dalam meluluskan pembiayaan kepada pemohon terutamanya pengusaha PKS kerana mereka diperlukan untuk mempamerkan rekod prestasi perniagaan baik dan kukuh bagi memohon pembiayaan kewangan tambahan. 

 

"Di sini, MFA hadir sebagai alternatif terbaik kepada pengusaha PKS untuk menawarkan fasiliti pemfaktoran atau pembiayaan invois dan khidmat nasihat kewangan yang diperlukan. 

 

"Bantuan pembiayaan yang diberikan kepada kontraktor/pembekal menerusi skim pemfaktoran ini mampu melancarkan lagi aliran tunai perniagaan masing-masing dan menyuntik modal tambahan untuk mereka melunaskan kontrak yang dianugerahkan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, Mohamed Fahmi membentangkan laporan tahunan dan pencapaian prestasi MFA kepada ahli persatuannya di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-37 di sini hari ini. 

 

 

mfa
Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-37 di ibu negara pada 23 September 2022.

 

 

Beliau memaklumkan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 merupakan waktu yang sukar disebabkan oleh keadaan ekonomi dan operasi yang mencabar, rata-rata didorong situasi COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia. 

 

Di sebalik cabaran pandemik COVID-19 ini, MFA menerusi 25 ahli di bawah naungannya telah merekodkan sejumlah hampir RM3 bilion pembiayaan kewangan kepada lebih dari 3,500 syarikat PKS untuk tahun kewangan yang berakhir baru-baru ini. 

 

Jumlah itu tidak melibatkan pembiayaan kewangan yang disediakan ahli MFA yang mewakili institusi kewangan seperti Affin Bank Berhad dan Bank Islam Malaysia. 

 

Mengulas mengenai prestasi tahunan persatuan, beliau berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa telah membantu momentum pertumbuhan kewangan negara dalam persekitaran sentimen yang lebih positif dan meransang prospek secara keseluruhannya.

 

“Fasa endemik ini menyaksikan MFA terus bersikap proaktif dalam memastikan kesinambungan dan sinergi berpanjangan sentiasa dapat dimaterialisasikan di antara persatuan dan para kontraktor/pembekal khususnya dalam kalangan pengusaha PKS demi membantu memperkukuhkan sektor ekonomi negara terutamanya dalam segmen yang melibatkan pemfaktoran. 

 

"Fasiliti atau kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh 25 pembiaya kewangan di bawah naungan MFA ini tetap menjadi pilihan utama para kontraktor/pembekal yang mendapat kontrak bekalan atau perkhidmatan kerajaan untuk projek-projek dalam dan di luar negara," katanya. - DagangNews.com