Skip to main content

MHB pasang solar bumbung terbesar di Malaysia di MMHE West

Tenaga yang dihasilkan daripada panel solar itu cukup untuk menerangi 725 rumah dua tingkat selama setahun. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) kini menggunakan tenaga solar dalam menjalankan operasi limbungan di MMHE West di Pasir Gudang, Johor.

 

Kejayaan ini dicapai selepas selesainya pemasangan panel solar fotovoltan (PV) oleh M+ daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

 

Penyedia industri tenaga dan penyelesaian laut itu berkata, M+ adalah jenama penyelesaian solar Petronas, yang mana perjanjian itu akan berlangsung selama 21 tahun sehingga 2042.

 

"Pemasangan solar bumbung berkuasa 8.3 megawatt (MWp) di MMHE West mewakili pemasangan solar atas bumbung yang terbesar dalam satu kompleks di Malaysia," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Panel solar PV itu memiliki 18,720 unit dengan ukuran 440,496 kaki persegi secara keseluruhan akan memberikan tenaga untuk lapan bangunan di MMHE West.

 

Panel-panel ini secara kolektif menghasilkan kira-kira 10,000-megawatt jam (MWh) tenaga bersih setiap tahun.

 

MHB berkata, ini mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 6,286 tan ke atmosfer setiap tahun.

 

"Ini bermakna 132,000 tan pelepasan karbon dikurangkan sepanjang 21 tahun, bersamaan dengan menanam dua juta pokok," tambahnya.

 

Tenaga yang dihasilkan daripada panel solar itu cukup untuk menerangi 725 rumah dua tingkat selama setahun.

 

Dianggarkan RM30 juta akan dijimatkan dalam bil elektrik selama 21 tahun. - DagangNews.com