Microsoft Malaysia lantik 2 kepimpinan baharu | DagangNews Skip to main content

Microsoft Malaysia lantik 2 kepimpinan baharu

Millie Yong dan Azizah Ali

Millie Yong dan Azizah Ali 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Microsoft Malaysia mengumumkan pelantikan dua kepimpinan baharunya bagi mengukuh dan merancakkan lagi pertumbuhan digital pelanggan di negara ini.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman berkata, pelantikan tersebut melibatkan Azizah Ali sebagai Pengarah Kumpulan Kecil, Sederhana dan Korporat (SMC) dan Millie Yong sebagai Pengarah Penjualan Penyelesaian.

"Tahun 2020 telah membawa gelombang digitalisasi besar sekali gus merancakkan transformasi digital khususnya dalam kalangan SMC dan perusahaan. 

"Kami di Microsoft tegas dalam visi kami untuk memperkasakan setiap orang dan organisasi di Malaysia. Kami amat gembira dengan penyertaan Azizah dan Millie dalam pasukan kepimpinan kami," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizah telah bersama Microsoft lebih dari dua dekad dan beliau telah memegang beberapa jawatan kepimpinan di rantau Asia Pasifik. 

Sebelum ini, beliau telah memainkan peranan penting sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam dalam memulai inisiatif nasional seperti projek eGovernment dengan kerajaan Malaysia.

 

K. Raman
K. Raman

 

Azizah juga pernah dilantik sebagai Pengurus Negara untuk Microsoft Brunei pada tahun 2009 sekali gus mengetuai inisiatif perkongsian antara Kerajaan Brunei dan Microsoft untuk menubuhkan Pusat Pembangunan Perisian Brunei.

Pada tahun 2013, beliau kembali ke Microsoft Malaysia sebagai Pengarah Kumpulan Penyelesaian Pasaran Kecil dan Sederhana serta Rakan Kongsi.

Jelas Azizah, beliau teruja untuk kembali bekerjasama dengan rakan-rakan di Microsoft Malaysia dan menyokong perkembangan SMC di negara ini ke arah kejayaan.

Dalam peranan baharunya yang berkuat kuasa pada September 2020, Azizah akan memberi tumpuan untuk menyokong SMC dalam aspirasi transformasi digital mereka, dengan memadankan cabaran pelanggan dengan penyelesaian Microsoft dan memanfaatkan ekosistem rakan kongsi Microsoft yang aktif.

Sementara itu, Millie Yong pula akan menawarkan kepimpinan berwibawa dalam penjualan dan kemahiran teknikal untuk memacu transformasi digital dalam kalangan pelanggan perusahaan di Malaysia. 

Bersama dengan pasukan pakar penjualan dan teknikal, beliau akan menyediakan penyelesaian rentas teknologi baharu dan relevan untuk pelanggan sambil membantu mengembangkan kemampuan digital mereka.

Millie berpengalaman lebih daripada 20 tahun merentasi industri termasuk institusi perkhidmatan kewangan (FSI), telekomunikasi, pembuatan, dan peruncitan.

Ujarnya, pemikiran inovatif sangat penting dan diperlukan untuk memenuhi keperluan perniagaan khususnya bagi sektor perusahaan yang merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia.

"Berikutan peningkatan integrasi teknologi dalam proses organisasi secara lebih rancak, kami akan menawarkan penyelesaian dan nasihat teknologi yang diperlukan bagi organisasi untuk mentransformasi dan mengembangkan perniagaan mereka," ujarnya lagi. - DagangNews.com