MIDF kekalkan penarafan ‘neutral’ saham Sime Darby Plantation | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan penarafan ‘neutral’ saham Sime Darby Plantation

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap saham Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM5.08.

 

Penarafan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor semasa yang dijangka mempengaruhi prestasi perolehan SDP. 

 

Ini termasuk pelupusan operasi Liberia yang sentiasa rugi, di mana dapat menambah baik perolehan kumpulan syarikat. 

 

Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini yang memberangsangkan turut dapat menyumbang kepada keuntungan SDP. 

 

“Bagaimanapun, kami masih bimbang terhadap impak pengeluaran buah tandan segar sawit (FFB) didorong oleh pengurangan buruh asing termasuk keadaan cuaca yang tidak baik. 

 

“Ini berpotensi mengehadkan manfaat yang diterima daripada harga sawit lebih tinggi. Dalam pada itu, kami menjangkakan segmen hiliran akan terus berprestasi baik, terutamanya dipacu oleh segmen perniagaan pukal,” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Pada suku ketiga 2020 (3Q20), keuntungan SDP kembali normal iaitu mencatatkan nilai RM250.0 juta. 

 

Jumlah itu melonjak hampir lima kali ganda daripada nilai yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu, RM43 juta, disumbang oleh kedua-dua segmen huluan dan hiliran. 

 

Prestasi kewangan itu lebih baik daripada ramalan yang dibuat MIDF.


 

“Dalam perkembangan lain, kami menjangkakan langkah pengewangan aset kumpulan itu mungkin berdepan beberapa cabaran susulan pandemik COVID-19.

 

“Tetapi, daya tarikan yang terdapat dalam langkah itu mampu menurunkan kadar hutang ke sasaran nisbah penggearan kasar sebanyak 30% dalam tempoh tiga tahun akan datang dan memperkukuh kunci kira-kira. 

 

“Berdasarkan segala faktor yang dipertimbangkan, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap kumpulan itu,” tambah MIDF.

 

Setakat 10.47 pagi, saham SDP menyusut RM0.06 atau 1.16% kepada RM5.11 dengan jumlah saham yang didagangkan sebanyak 32,500. - DagangNews.com