MIDF kekalkan saranan 'beli' saham Favelle Favco | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan saranan 'beli' saham Favelle Favco

Favelle Favco Berhad.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham syarikat pengeluar kren pembinaan, Favelle Favco Berhad.

Jelas MIDF Research, saranan tersebut dibuat berdasarkan kepada perkembangan dan permintaan semasa selain pembukaan semula sektor ekonomi terhadap syarikat berkenaan.

"Pesanan pembelian yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan syarikat adalah seiring dengan pembukaan semua operasi ekonomi secara beransur-ansur.

"Kami melihat jumlah permintaan kembali mendapat tempat dalam kedua-dua kren luar pesisir (offshore) dan infrastruktur susulan permintaan minyak mentah dan infrastruktur yang mula pulih.

"Oleh itu, kami kekalkan saranan 'beli' kami untuk Favco selain terus positif terhadap prestasi syarikat berkenaan," jelas MIDF Research.

Keyakinan MIDF Research terhadap syarikat berkenaan turut dinilai berdasarkan kepada tiga faktor utama iaitu;

  • Gabungan buku pesanan yang stabil dalam projek berasaskan infrastruktur
  • Kedudukan tunai bersih
  • Dividen yang konsisten melalui hasil dividen pada tahun kewangan 2021 sebanyak 6.7%

 

Favelle Favco telah mengumumkan set pesanan pembelian pertama yang dijamin melalui anak syarikatnya dari 27 Ogos 2020 hingga tarikh pengumuman pada 23 September 2020.

Ketiga-tiga pesanan itu terdiri daripada campuran kedua-dua kren menara dan luar pesisir yang berjumlah RM56.1 juta dengan jangkaan tarikh penghantaran pada tahun kewangan 2020 dan 2021.

MIDF Research turut mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) pada RM3.00. - DagangNews.com