MIDF kekalkan unjuran -3.5% pertumbuhan eksport 2020 | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan unjuran -3.5% pertumbuhan eksport 2020

 


ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. - MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport tahun ini pada -3.5% walaupun Malaysia merekodkan prestasi eksport tertinggi pada September sejak Oktober 2018. 

Eksport negara kembali pulih pada September apabila mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6% kepada RM88.93 bilion. 

Menurut firma penyelidikan itu, prospek eksport pada masa hadapan akan disokong oleh jualan dalam produk terpilih terutama elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan getah. 

"Kami menjangkakan trend jualan ini akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan ini sejajar dengan aktiviti ekonomi global yang kembali beroperasi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Di sebalik pemulihan eksport, penghantaran keluar masih kekal lemah berbanding tahun lalu memandangkan terdapat beberapa risiko yang mempengaruhi prestasi dagangan. 

"Ini disebabkan gelombang baharu pandemik COVID-19 dan dasar perlindungan yang semakin meningkat akan menjejaskan proses pemulihan ekonomi di kebanyakan negara," jelasnya. 

 

Baca : Malaysia rekod eksport tertinggi pada September RM88.93 bilion


 
Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, secara keseluruhan, jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5% kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019. 

Kenaikan ini direkodkan terutama dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan. 

Bagaimanapun, import menyusut 3.6% kepada RM66.96 bilion.

MIDF berkata, prestasi import secara keseluruhan kekal lemah memandangkan pengeluar masih lagi bimbang dengan permintaan produk dan ada sebahagian daripada mereka tidak beroperasi dengan kapasiti penuh. 

"Selain itu, AS yang bertindak lebih tegas terhadap China pada ketika kempen pilihan raya presiden AS semakin meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. 

"Tetapi sebaliknya, import barang pengguna meningkat ke paras tertinggi setahun pada 11.2% dengan sebahagiannya disebabkan pengukuhan ringgit," katanya. - DagangNews.com