MIDF naikkan unjuran untung bersih FY22 Bermaz Auto kepada RM174 juta | DagangNews Skip to main content

MIDF naikkan unjuran untung bersih FY22 Bermaz Auto kepada RM174 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jun -  Selepas mencatatkan prestasi suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) melebihi jangkaan, MIDF Research meningkatkan unjuran keuntungan bersih Bermaz Auto Berhad (BAB) sebanyak 21% kepada RM174 juta. 

 

Lonjakan itu mengambil kira tiga faktor termasuk margin yang lebih tinggi dipacu kempen promosi besar-besaran, perolehan daripada pengedaran Kia yang diambil alih baru-baru ini selain perniagaan pemasangan dan penggabungan Bermaz Auto Alliance (BAASB). 

 

“Kami juga memperkenalkan unjuran keuntungan bersih FY23 sebanyak RM196 juta - kami menjangkakan perolehan FY23 akan berkembang lagi sebanyak 12.2% tahun ke tahun (y-o-y) dipacu oleh lonjakan jualan Kia dan Peugeot. 

 

“Bagi Kia, lonjakan itu mengambil kira sumbangan sepanjang tahun model CKD, di mana dijangka dilancarkan menjelang 4QFY22. 

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan jumlah jualan industri (TIV) kumpulan (terdiri daripada Mazda, Kia dan Peugeot) akan berkembang 21% dan 19%, masing-masing pada FY22 serta FY23, dipacu terutamanya oleh jenama yang baru diambil alih,” jelas penganalisis di MIDF, Hafriz Hezry dalam satu nota kajian. 

 

Keputusan kewangan 4QFY21 BAB melebihi ramalan MIDF apabila kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM66 juta, lonjakan 95% berbanding suku tahun sebelumnya. 

 

Ini seterusnya membawa keuntungan bersih sepanjang tahun kewangan semasa kepada RM135 juta, meningkat 29% y-o-y yang dipacu oleh margin dan jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

“BAB secara beransur-ansur beralih kepada sebuah konglomerat kenderaan pelbagai jenama susulan langkah pengambilalihan jenamanya, di mana dijangka mendorong perolehan yang melebihi industri dan pertumbuhan jumlah di semua unjuran kami,” tambah Hafriz lanjut.

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham BAB dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM2.20. 

 

Senada itu, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ saham BAB dengan TP juga ditingkatkan kepada RM2.00. 

 

Penganalisisnya, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, jumlah jualan BAB dijangka meningkat 20% bagi FY22, dipacu oleh pelepasan cukai jualan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 dan sumbangan lebih tinggi daripada jenama Mazda, Kia dan Peugeot. 

 

“Secara keseluruhannya, kami meningkatkan perolehan sesaham (EPS) FY22 hingga FY23 sebanyak 2% hingga 18% dan menjangkakan BAB akan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) EPS tiga tahun bermula 2020 hingga 2023 sebanyak 13%,” tambah beliau.  

 

Setakat 10.22 pagi, harga saham BAB meningkat 4 sen kepada RM1.52. - DagangNews.com