Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap sektor teknologi walaupun berdepan pelbagai tekanan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - MIDF Research kekal positif terhadap sektor tekonologi walaupun berterusan berdepan tekanan daripada kenaikan kadar semasa dan isu-isu makroekonomi yang lain.

 

Firma itu berkata, keyakinan itu disuarakan selepas mengambil kira permintaan daripada sistem 5G, kecerdasan buatan (AI) dan produk berkaitan kenderaan elektrik (EV).

 

"Kemajuan teknologi baharu sangat bergantung kepada industri semikonduktor dalam menyediakan kuasa pengkomputeran yang diperlukan.

 

"Kami kekal positif terhadap sektor ini kerana prospek jangka sederhana yang sangat menarik selaras dengan peningkatan penerimaan dan integrasi pintar teknologi, menyelubungi banyak sektor serta aplikasi," kaanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada 2QFY22 jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 13.3% kepada AS$152.5 bilion (RM679.51 bilion).

 

Bagaimanapun, jualan global untuk Jun 2022 adalah sebanyak AS$50.8 bilion (RM226.35 bilion), penurunan sebanyak 1.9% dari bulan ke bulan.

 

"Jualan meningkat di semua pasaran serantau utama dan kategori produk pada suku kedua 2022, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Namun begitu, pertumbuhan pasaran semakin perlahan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pertumbuhan tahun ke tahun jatuh di bawah 15% pada Jun 2022 buat kali pertama sejak Februari 2021," katanya.

 

Dari segi tahunan, jualan pertumbuhan meningkat di semua rantau diterajui oleh Amerika Syarikat (+29.0%), Jepun (+16.1%), Eropah (+12.4%), Asia Pasifik/Semua Lain (+11.9%) dan China (+4.7%).

 

Dari segi bulanan, jualan menurun di semua wilayah termasuk Jepun (-0.7%), Amerika (-0.9%), Eropah (-1.1%), Asia Pasifik/Semua Lain (-2.3%) dan China (-2.8%).

 

Syarikat semikonduktor pilihan utama firma itu ialah Inari Amerton Berhad (beli, TP: RM3.65) dan Unisem (M) Berhad (beli, TP: RM4.07) selepas mengambil kira peningkatan kandungan RF dalam penggunaan dan penggunaan telefon pintar 5G. 

 

"Kami juga menyukai Globetronics Technology Berhad (beli, TP: RM1.94) kerana pendedahannya dalam produk penderia berteknologi tinggi untuk pelbagai aplikasi," katanya. - DagangNews.com