MIDF Research positif dengan prospek Datasonic, kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif dengan prospek Datasonic, kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Ogos - MIDF Research positif dengan prospek Datasonic Group Bhd. selepas kumpulan meraih tambahan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini berjumlah RM350.14 juta.

 

Kontrak Datasonic berjumlah RM318.75 juta untuk membekalkan 12.5 juta cip pasport kepada KDN telah ditambah naik kepada RM350.14 juta, merangkumi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan bernilai RM31.39 juta bagi 2022 dan 2023.

 

Kumpulan itu ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, antara lain, peralatan, perisian dan aplikasi sistem cip, di bawah kontrak yang disemak semula.

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Datasonic dengan harga sasaran tidak berubah pada 57 sen. 

 

Bagaimanapun, ia tidak membuat sebarang perubahan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).

 

"Kami neutral dengan pengumuman terkini Datasonic itu memandangkan tambahan kontrak RM31.39 juta adalah berada dalam jangkaan kami. 

 

"Pengubahsuaian dalam nilai siling kontrak diunjur akan menyumbang kepada pendapatan masa depan kumpulan dan aset bersih sesaham dari FY23 dan seterusnya sepanjang tempoh kontrak," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Kontrak Datasonic ditambah penyelenggaraan bagi cip pasport, kini bernilai RM350.14 juta

 

MIDF Research menjangkakan prospek keuntungan kumpulan akan dipacu permintaan terpendam untuk penyelesaian berkaitan pasport apabila sempadan dibuka semula secara beransur-ansur. 

 

"Selain itu, kontrak baharu untuk MyKad generasi baharu dan ID digital nasional yang akan dilancarkan tidak lama lagi berdasarkan kekuatan teknologi yang dimilikinya juga dijangka menjadi faktor penyumbang kepada keuntungan kumpulan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu positif dengan prospek Datasonic berikutan komitmen kumpulan mendahului teknologi keselamatan dan ini menjadikannya lebih menarik berbanding pemain industri lain untuk terus dipilih sebagai vendor penyelesaian berkaitan keselamatan ID nasional.

 

Setakat 9.04 pagi ini, harga saham Datasonic menokok 1 sen atau 1.96% kepada 52 sen dengan 1.97 juta saham diniagakan. - DagangNews.com