Skip to main content

MIDF Research unjur pasaran buruh Malaysia terus mengukuh pada 2H22

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pasaran buruh Malaysia dijangka terus mengukuh pada 2H22 disokong kehadiran pekerja Indonesia ke negara ini mulai 23 Jun 2022.

 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, Malaysia akan menerima kumpulan pertama pekerja asing Indonesia hari ini sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

 

Katanya, ketibaan pekerja itu dijangka dapat mengurangkan kekurangan tenaga buruh terutama di ladang kelapa sawit.

 

MIDF Research berkata, guna tenaga buruh telah menurun sebanyak 1.8% pada 2020 dan 2.9% pada 2021, lebih 100,000 pekerja berhenti kerja akibat pandemik COVID-19.

 

Katanya, pekerja bukan warganegara membentuk kira-kira 10% penduduk Malaysia yang bekerja.

 

“Kadar pengangguran Malaysia diunjurkan menurun pada tahun ini kepada 3.8% pada 2022 daripada 4.6% pada 2021, disokong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan asas ekonomi yang kukuh,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, unjuran kadar pengangguran masih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik yang mencatatkan 3.4%.

 

Pertumbuhan pekerjaan dijangka pada 2.5% (2021: 2.0%) manakala pengangguran diunjurkan menyusut sebanyak 15.0% tahun ini (2021: +3.0%).

 

“Dalam empat bulan pertama tahun 2022, pertumbuhan pekerjaan berada pada paras 3.0% tahun ke tahun dan pengangguran turun sebanyak 12.6% tahun ke tahun,” katanya. - DagangNews.com