KUALA LUMPUR 22 Okt - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang dijangka berdepan defisit fiskal yang semakin meningkat.
Badan pengkaji data ekonomi itu berkata, defisit fiskal kerajaan berada hampir 6% daripada KDNK pada 2021 berbanding 6.2% pada 2020 meskipun wujud jangkaan pemulihan dalam ekonomi keseluruhan tahun ini.
"Nisbah ini bagaimanapun masih di bawah paras tertinggi 6.5% daripada KDNK yang dicatatkan pada 2009 ketika negara dilanda krisis ekonomi dan kewangan global," katanya.
Dari segi pasaran buruh, MIER berkata, ia kekal lemah bagi tempoh tujuh bulan tahun ini menunjukkan ia ketinggalan berbanding petunjuk lain terutama disebabkan peningkatan jumlah pemberhentian pekerja, kekosongan jawatan dan kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) yang lebih rendah.
"Kadar pengangguran keseluruhan meningkat kepada 4.8% pada Julai 2021, melepasi nilai ambang pekerjaan penuh 4% (Jun 2021: 4.8%, Mei 2021: 4.5%)," katanya.
Dalam laporan sama, MIER turut mendedahkan, kadar inflasi secara meluas dijangka meningkat terutama disebabkan kenaikan harga komoditi global, penurunan nilai pertukaran ringgit, kenaikan kos perdagangan pertelingkahan berterusan dalam saluran pengedaran serta pemasaran.
"Gangguan berkaitan COVID-19, langkah berkaitan sekatan dan pembendungan pandemik oleh kerajaan yang sedang dilaksanakan juga akan mendorong jangkaan inflasi yang lebih meningkat," katanya.
Baru-baru ini, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) melaporkan ekonomi Malaysia dijangka pulih secara kukuh tahun depan dengan berkembang 6.7% sejajar pemulihan serantau dan global.
Terdahulu, S&P Global Ratings (S&P) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6% tahun depan, 5.2% pada 2023 dan 4.6% pada 2024.
MIER berkata, terdapat petunjuk jelas pemulihan drastik ekonomi iaitu pertumbuhan berbentuk 'V' khususnya berlandaskan beberapa aspek termasuk permintaan agregat domestik yang berkembang merangkumi pelaburan dan penggunaan swasta.
Susulan itu, ia mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang antara 5.5% hingga 6.5% pada tahun hadapan berbanding jangkaan 4% pada tahun ini.
"Isyarat jelas juga dapat dilihat menerusi aspek pertumbuhan kukuh berterusan dalam eksport barangan dan perkhidmatan, peningkatan rizab antarabangsa bersih Bank Negara Malaysia (BNM) dan kenaikan aliran pelaburan dan portfolio pelaburan oleh pelabur asing.
"Dengan pembukaan semula sempadan antara negeri berikutan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diuruskan dengan baik, pertumbuhan KDNK dijangka mengukuh antara 5.5% hingga 6.5% tahun depan, menunjukkan semua sumber telah digunakan terutama menjelang akhir tahun depan," katanya. - DagangNews.com