MIER turunkan ramalan KDNK Malaysia kepada -5.5% | DagangNews Skip to main content

MIER turunkan ramalan KDNK Malaysia kepada -5.5%

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Tekanan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi global mendorong Institut Penyelidikan EKonomi Malaysia (MIER) untuk merendahkan lagi ramalan Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) Malaysia. 

Menerusi laporan prospek ekonomi Malaysia bagi suku ketiga, MIER meramalkan KDNK Malaysia bakal menguncup sehingga -5.5% pada tahun 2020.

Dalam masa sama, ekonomi negara bakal berdepan kesan negatif sekiranya cadangan darurat oleh kerajaan di bawah pemerintahan perikatan Nasional (PN) dilaksanakan. 

“Cadangan darurat negara untuk menangani kes penularan COVID-19 yang semakin meningkat pada suku ini bakal merencat ekonomi 2020 dan melambatkan proses pemulihan pada tahun hadapan.

“Walaupun cadangan itu ditolak, pandemik COVID-19 kekal sebagai kelemahan utama dalam pemulihan ekonomi negara menjelang tahun 2021 serta mengancam untuk mengubah pembalikan berbentuk V kepada U,” kata laporan itu menurut Malay Mail.

MIER memberi amaran bahawa ramalan KDNK pada tahun ini masih bergantung kepada tahap pematuhan langkah pengekangan COVID-19 dan secepat mana jangkitan itu dapat dibendung.

Jelas laporan itu, gelombang ketiga jangkitan COVID-19 pada suku keempat 2020 (4Q20) menjejaskan pertumbuhan KDNK yang mencerminkan keseluruhan prestasi pada tahun ini, tetapi prospek pertumbuhan ekonomi pada 2021 tetap utuh. 

“Tanpa bantuan tambahan oleh kerajaan pada suku lalu terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), MIER merendahkan ramalan KDNK kepada senario terburuk kepada -5.5% berbanding tahun 2019,” tambah MIER.

Dalam pada itu, bagi sektor perniagaan pula, MIER meramalkan potensi pertumbuhan memasuki suku keempat walaupun terdapat sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur. 

Indikator Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) MIER menunjukkan angka yang menggalakkan bagi suku ketiga 2020 dengan laporan meramalkan peningkatan bagi sektor itu didorong bacaan positif dalam jangkaan penjualan dalam pasaran domestik serta asing, jumlah pengeluaran, dan pekerjaan jika dibandingkan dengan suku sebelumnya. - DagangNews.com