MIGA-i pelaburan emas di Maybank2u serendah RM10 | DagangNews Skip to main content

MIGA-i pelaburan emas di Maybank2u serendah RM10

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican (kiri) dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan menunjukkan 1 kilogram jongkong emas pada majlis pelancaran Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i) baru-baru ini. 

 

 


KUALA LUMPUR 17 Mei - Maybank Islamic Berhad melancarkan produk pelaburan emas yang pertama, Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i), yang boleh dibuat menerusi Maybank2u. 

 

Pelanggan boleh membuat pelaburan emas dan melakukan transaksi beli atau jual dengan nilai serendah RM10.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, kadar keutamaan pendahuluan akan diberikan kepada pelanggan dengan pelaburan sebanyak 100 gram ke atas.

 

Katanya, ini untuk memastikan pelanggan mendapat harga emas yang paling menarik di pasaran.

 

"Kami di Maybank Islamic percaya bahawa sudah tiba waktunya untuk kami menawarkan pelaburan yang sedemikian dan memudahkan mereka untuk bukan hanya membuka akaun tetapi juga membeli, menjual dan memindahkan emas melalui platform M2U kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan memiliki emas fizikal dengan ketulenan 999.9% seperti yang diakreditasikan oleh London Bullion Market Association tanpa perlu menyimpan emas fizikal atau bimbang akan keselamatannya.

 

MIGA-i berbeza daripada akaun emas konvensional, kerana akaun emas patuh syariah ini membolehkan pelanggan menebus baki emas yang ada dalam akaun mereka dengan emas fizikal, dalam denominasi dari sekecil 1 gram sehingga 1 kilogram emas.

 

Maybank Islamic juga merupakan institusi kewangan pertama di negara ini yang dapat menyerahkan emas fizikal kepada pelanggan mereka setelah penebusan dibuat.

 

Akaun ini juga yang pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan pelanggan menikmati harga pasaran semasa secara masa nyata untuk membeli dan menjual emas. 

 

Tidak lama lagi, pelanggan juga akan ditawarkan fleksibiliti untuk membuat pra-pesanan untuk membeli atau menjual berdasarkan harga pilihan mereka melalui Maybank2u.

 

Manfaat lain yang dapat dinikmati pelanggan akaun ini termasuklah tebaran yang lebih rendah antara harga jualan dan belian pihak Bank dan tidak ada caj tambahan apabila pelanggan memindahkan emas dalam gram dari satu akaun MIGA-i ke akaun MIGA-i yang lain.

 

Untuk MIGA-i, Maybank Islamic bekerjasama dengan syarikat perdagangan emas, ACE Innovate Asia Berhad (AIAB) yang telah terlibat dalam perdagangan jongkong emas skerap, jongkong emas kas dan jongkong emas cetak sejak 2011.

 

Maybank Islamik kini menawarkan kempen untuk pelanggan yang merujuk dan dirujuk akan menerima 0.01 gram
emas ketika pelanggan yang dirujuk membuka akaun MIGA-i dalam talian dan membuat pelaburan minimum RM100. 

 

Mereka yang tidak mempunyai kod perujuk juga dapat menikmati ganjaran dengan memasukkan kod rujukan ‘MIGAM2U’ semasa pendaftaran akaun. Ganjaran ini dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. - DagangNews.com