Migrant CARE: Kerajaan diminta bertindak ke atas sindiket eksploitasi pengebumian akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Migrant CARE: Kerajaan diminta bertindak ke atas sindiket eksploitasi pengebumian akibat COVID-19

SEORANG petugas menyembur pembasmi kuman di atas keranda mangsa COVID-19. (Gambar sekadar hiasan) Ng Lie Cheng

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Migrant Care Malaysia (Migrant CARE) hari ini mendesak Kerajaan Malaysia supaya bertindak terhadap aktiviti sindikit syarikat perkhidmatan pengebumian yang tidak bertanggungjawab dengan mengeksploitasi masyarakat kurang bernasib baik dan pendatang asing yang terjejas akibat COVID-19.

 

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan pekerja migran di Malaysia mendakwa bahawa mereka telah menerima banyak aduan dari pendatang asing bahawa sindiket pengebumian mengenakan harga pengebumian yang tidak masuk akal sehingga dua kali ganda daripada harga pengebumian warga negara Malaysia.

 

Koordinator Migrant CARE, Alex Ong berkata, “Saya sangat kesal apabila mendengar kes di mana keluarga pekerja migran ini tidak dibenarkan mengebumikan mayat keluarga mereka kerana tidak mampu membayar perbelanjaan pengebumian yang terlalu tinggi. Semua orang berhak mendapat pengebumian sewajarnya."

 

“Minggu ini, kami terpaksa masuk campur untuk membantu menguruskan tiga kes kematian yang berkaitan dengan COVID-19 kerana syarikat perkhidmatan pengebumian meminta bayaran yang jauh tinggi daripada mereka yang bukan warganegara untuk menuntut jenazah keluarga mereka di hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ong juga menambah bahawa masalah ini semakin hari semakin menjadi-jadi dan sesuatu patut dilakukan segera. Tindakan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi adalah tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

 

"Kini, kami juga mendengar bahawa sindiket ini cuba menyasarkan warganegara Malaysia sendiri ekoran kes COVID-19 yang semakin tinggi dan menggunakan alasan berkaitan standard prosedur operasi (SOP) tanah perkuburan yang ketat.

 

"Kami harap pihak berkuasa di Malaysia akan bertindak untuk menghentikan perkara yang tidak bermoral ini dengan cepat kerana boleh menimbulkan masalah lain berkaitan domestik dan antarabangsa, ”katanya. – DagangNews.com