MIHAS 2022 jana jualan sebanyak RM2.36 bilion, atasi sasaran awal RM1.96 bilion | DagangNews Skip to main content

MIHAS 2022 jana jualan sebanyak RM2.36 bilion, atasi sasaran awal RM1.96 bilion

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIHAS) 2022 berjaya memecah rekod dengan menjana jualan sebanyak RM2.36 bilion mengatasi sasaran jualan awal RM1.96 bilion.

 

Daripada keseluruhan, jualan pempamer adalah sebanyak RM1.65 bilion daripada pameran itu manakala baki RM714.7 juta dijana daripada Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang terdiri daripada mesyuarat perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang diatur sebelumnya yang dijalankan secara fizikal dan maya sempena MIHAS 2022.

 

Kluster teratas dengan jumlah jualan tertinggi dicatatkan adalah perkhidmatan kewangan, hasil pertanian, penyediaan makanan, minuman serta produk minyak sawit.

 

Semasa penganjuran MIHAS 2022, sebanyak 264 pengeksport Malaysia dan 192 pembeli asing daripada 33 negara menyertai INSP fizikal manakala 226 pengeksport Malaysia dan 197 pembeli asing dari 48 negara menyertai INSP maya.

 

Lima pembeli premium dari India, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Amerika Syarikat (AS) turut dibawa masuk secara fizikal untuk bertemu dengan pengeksport Malaysia.

 

Jumlah jualan berjumlah RM714.70 juta telah direkodkan, terdiri daripada RM650.22 juta daripada INSP fizikal dan RM64.48 juta daripada INSP maya.

 

mihas

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya menggalakkan komuniti perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang diperingkat antarabangsa walaupun baru ditubuhkan.

 

Katanya, terdapat peluang luas dalam pasaran halal antarabangsa dan peniaga seharusnya memanfaatkan perkara itu.

 

"Matrade sedia membantu pengeksport Malaysia untuk memanfaatkan peluang ekonomi Islam global yang dianggarkan mencecah AS$2.8 trilion (RM12.79 trilion) menjelang 2025," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Berikutan kejayaan MIHAS 2022, Matrade akan terus menganjurkan program itu bermula 12 hingga Disember 2023 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan hampir 400 reruai sudah ditempah oleh pempamer yang hadir tahun ini. - DagangNews.com