Skip to main content

Minggu Saham Digital 2021 – 15 hal anda patut tahu untuk urus kewangan

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SEMASA dengan akhbar dulu, antara acara tahunan yang ditanda pada kalendar ialah Minggu Saham Amanah Malaysia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang diadakan secara tahunan bergilir-gilir mengikut negeri.

 

Ini kerana selain memastikan satu wartawan dan satu jurugambar berkampung di situ, acara ini adalah penting kerana ia menghimpunkan hampir semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana PNB memiliki ekuiti di dalamnya.

 

Dan hampir kesemuanya diwakili oleh CEO atau Pengarah Urusan masing-masing, yang menjadikan acara ini benar-benar diambil serius oleh GLC. Orang ramai pun sama-sama teruja melihat mereka dari jarak dekat.

 

Bagaimanapun berikutan pandemik COVID-19, PNB mengambil keputusan bijak dengan menukarnya menjadi acara di alam maya. MSD 2021 merupakan penganjuran kedua selepas kali pertama dilaksanakan pada tahun lalu (MSD 2020) dan juga sebagai kesinambungan dan adaptasi digital kepada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dilaksanakan selama 20 tahun sejak 1999.

 

Sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan standard literasi kewangan serta memperkasa rakyat Malaysia dalam membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa hadapan, PNB selaku salah sebuah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia menganjurkan Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021) bermula 17 November hingga 23 November 2021.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penganjuran kali kedua MSD yang diadakan secara maya selama tujuh hari ini adalah bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mempelajari dan meningkatkan kefahaman mereka mengenai kaedah pengurusan kewangan, menabung dan melabur dengan cara yang betul.

 

PNB
Minggu Saham Digital 2021 dirasmikan oleh Tun Arifin Zakaria, Pengerusi Kumpulan PNB, yang turut melancarkan dana terbaharu ASNB, ASN Equity Global. Majlis turut dihadiri oleh Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.

 

Dalam erti kata lain, MSD diadakan bagi meneruskan objektif literasi kewangan MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat melalui pelbagai aktiviti interaktif, pendidikan dan hiburan.

 

MSD juga merupakan manifestasi usaha PNB dalam mendukung agenda pendigitalan yang merupakan sebahagian daripada pelan transformasi organisasi PNB.

 

“Seperti juga MSAM, MSD telah menyediakan platform untuk masyarakat Malaysia mengenali PNB dan syarikat pelaburannya dan memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.,” katanya.

 

 

PNB
Acara RODA LABUR yang disertai artis-artis turut menyerikan program Minggu Saham Digital 2021.

 

 

Berikut ada 15 hal Minggu Saham Digital 2021 yang anda patut tahu:

 

  1. Untuk rekod, sejak penganjuran pertamanya hingga tahun 2019, sebanyak 20 siri MSAM telah diadakan di seluruh negara, meliputi ibu negeri dan bandar-bandar utama dan telah berjaya menarik seramai 3.9 juta pengunjung dari pelbagai peringkat umur dari seluruh negara.

 

  1. MSAM kali terakhir yang diadakan di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2019 berjaya menarik seramai 163,000 pengunjung. Setelah penganjuran fizikal secara bersemuka selama 20 tahun, PNB memutuskan untuk menganjurkannya secara maya selaras trend semasa dan juga bagi mendekati lebih ramai pengunjung. Pada masa yang sama, dunia dan negara dilanda pandemik Corona Virus 2019 (Covid-019), justeru penganjuran MSD secara maya menjadi begitu relevan.

 

  1. MSD 2020 yang diadakan tahun lalu pula memperoleh 7.5 juta capaian unik melalui halaman Facebook rasminya, 2.2 juta tontonan terkumpul di halaman Facebook rasmi dan saluran YouTube manakala laman webnya mencatatkan 11.5 juta capaian tontonan.

 

  1. Dalam pada itu, bagi menjayakan penganjuran MSD 2021, PNB telah menjalinkan kolaborasi dengan 12 rakan korporat yang terdiri daripada tiga kategori.

    Bagi kategori Rakan Premier, syarikat korporat yang terlibat ialah Maybank Berhad, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad, manakala kategori Rakan Utama terdiri daripada Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

    Empat syarikat korporat yang menjalinkan kerjasama sebagai Rakan penganjur ialah MNRB Holdings Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

 

PNB

 

  1. Selama tujuh hari itu pula, MSD 2021 membawakan program strim langsung dengan pelbagai pengisian di platform digital menerusi laman Facebook dan YouTube rasmi bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

 

  1. Sepanjang acara digital ini berlangsung, penonton bakal menyaksikan lebih 70 program hibur didik dan segmen bicara menarik melalui siri bual bicara, forum dan webinar bersama pakar khusus bidang, pemain utama industri, personaliti dan selebriti tanah air.

 

  1. Apa yang menarik ialah setiap penonton berpeluang untuk merebut hadiah bernilai lebih dari RM500,000 dengan menyertai program dan peraduan yang ditawarkan sepanjang MSD 2021 menerusi laman web rasmi www.minggusahamdigital.com.my.

 

  1. Antara program dan acara yang telah disusun termasuklah Sembang-sembang ASNB, ASNB Whoa! Shop, ASB Masterclass, Bijak Finance, Lalabur, Excuse Me, Nak Tanya Boleh?, Santai Bicara Muamalat, Bincang & Bangkang dan Roda Labur.

 

  1. Sempena MSD 2021 itu juga, dana unit  amanah harga berubah terbaharu iaitu ASN Equity Global yang diperkenalkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang  merupakan sebuah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB telah dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria.

    Dana terbaharu ASNB itu memberi fokus sepenuhnya kepada equiti global yang menawarkan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pasaran antarabangsa.

 

PNB

 

  1. Untuk rekod, sejak ASN Equity Global diperkenalkan dan ditawarkan kepada umum bermula 1 September 2021 sehingga 15 November 2021, lebih daripada 740 juta unit telah dilanggan melibatkan lebih 14,000 pelabur.

    ASN Equity Global merupakan usaha ASNB untuk memperkenalkan konsep pelaburan bersifat kontemporari bagi menepati cita rasa pelabur yang ingin mendapatkan pulangan menerusi pelaburan ekuiti global.

 

  1. Bagi memudahkan para pelabur memantau prestasi pelaburan mereka, ia boleh dilakukan dengan cara mudah melalui portal dan aplikasi myASNB serta menerusi perbankan internet selain turut berpeluang menikmati caj jualan yang lebih rendah.

 

  1. Sempena penganjuran MSD 2021 ini, semua pelabur yang membuat pelaburan melebihi RM1,000 dalam dana-dana harga berubah sama ada melalui portal ataupun aplikasi myASNB tidak akan dikenakan sebarang caj jualan.

 

  1. Pelabur yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pelaburan ASN Equity Global itu dan dana harga berubah yang lain boleh berbuat demikian dengan menemui pegawai kewangan bertauliah di 32 pejabat cawangan ASNB dan lebih 2,700 cawangan ejennya di seluruh negara.

 

PNB

 

  1. Selain itu, MSD 2021 turut menyaksikan ASNB melancarkan perkhidmatan baharu iaitu Wakaf ASNB yang juga disempurnakan oleh Tun Arifin Zakaria.

    Wakaf ASNB, yang mula ditawarkan pada 25 Oktober lalu, membuka peluang kepada para pelabur untuk melaksanakan amal kebajikan menerusi dana unit amanah ASNB mereka. Unit amanah  yang diwakafkan oleh pelabur akan dikekalkan sebagai pelaburan pokok bagi menjana pulangan tahunan. Pulangan daripada pelaburan pokok tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek berkepentingan awam pada setiap tahun, dan ianya berterusan walaupun setelah pelabur meninggal dunia.

    Pelancaran Wakaf ASNB telah disusuli dengan sebuah forum bertajuk “Wakaf – Faedah yang Berkekalan” yang menampilkan dua ahli panel iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, bersama moderator Ustaz Mohd Hariri Haji Mohamad Daud.

 

  1. Selain itu, ASNB juga menampilkan segmen wakaf dalam program ASNB Whoa! Shop yang akan disiarkan menerusi Facebook dan YouTube MSD pada 22 November 2021, pukul 2 petang. Dalam rancangan tersebut 100 pemenang bertuah berpeluang memenangi 100 unit percuma untuk ditambah ke dalam dana wakaf.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Ku Petik Bintang-bintang - Kenny, Remy, Martin berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.